PRK Seri Setia Medan UMNO Buktikan Keikhlasan Kerjasama Dengan Pas


KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia akan menjadi medan membuktikan keikhlasan UMNO untuk bekerjsama dengan Pas.

Jelas beliau, kerana itulah UMNO tidak akan bertanding dan akan memberi laluan kepada Pas malah UMNO juga akan menghantar jentera bagi membantu Pas memenangi PRK tersebut.

“Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, saya telah pun mengeluarkan arahan untuk jentera UMNO digerakkan bagi membantu Pas di PRK Seri Setia. Itu janji kita dan kekalahan UMNO di PRK Sungai Kandis tidak akan mengubah janji tersebut.

“Kita akan pastikan hubungan baik yang cuba dibina ini akan berkekalan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Mengulas mengenai ahli Pas yang dilihat tidak memberi undi kepada UMNO di PRK Sungai Kandis jelas beliau, adalah sesuatu yang mustahil untuk mengharapkan semua ahli Pas memberi sokongan kepada UMNO dalam sekelip mata kerana ‘permusuhan’ antara dua parti ini telah berlarutan terlalu lama.

“Di peringkat atasan tidak ada masalah. Ini terbukti apabila kepimpinan atasan Pas secara terbuka meminta ahli mereka menyokong calon BN di PRK Sungai Kandis tetapi kita harus faham, di peringkat akar umbi ianya memerlukan waktu.

“Kita tidak boleh mengharapkan semua orang Pas akan memberi seratus peratus sokongan kepada UMNO. Permusuhan antara UMNO dan Pas di peringkat akar umbi sudah lama. Di peringkat kepimpinan mungkin tidak ada isu kerana tidak setiap hari berjumpa dan bergaduh tetapi di akar umbi, hari-hari mereka bersama.

“…di kedai kopi bergaduh, tengah makan kenduri pun boleh berbalah tentang UMNO dan Pas, tiba-tiba keluar arahan suruh undi. Mana mungkin mereka akan ubah sekelip mata. Ia memerlukan waktu,” jelasnya.

Walau apapun beliau melahirkan rasa kesyukuran kerana usaha berbaik antara kedua-dua parti telah ada walhal dahulu perkara seperti ini tidak mungkin berlaku.

Ini merupakan langkah awal kerjasama UMNO dengan Pas dan beliau amat percaya hubungan antara kedua-dua parti ini akan terus akrab malah jika ini boleh dikekalkan, tidak mustahil Pakatan Harapan boleh ditumbangkan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.