Azalina Kecewa Menteri PH Hentikan Peruntukan Bina Masjid


PENGERANG, 7 Ogos – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said melahirkan rasa kecewa dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini yang menghentikan peruntukan bagi pembinaan masjid di kawasannya.

“Saya selaku Ahli Parlimen Pengerang berasa kecewa dan sedih dengan keputusan yang dibuat kerajaan hari ini, malah penduduk setempat khususnya di Felda Air Tawar 5, Felda Semenchu dan Taman Bayu Damai juga meluahkan hal yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, kerajaan boleh sahaja untuk mempertimbangkang atau menghentikan projek-projek mega lain yang dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional, namun peruntukan bagi pembinaan rumah ibadah khususnya masjid tidak harus dihentikan.

“Besar sungguh harapan khariah di sini untuk mendapat masjid baru setelah beberapa usaha dan langkah dilakukan. Ahli Jawatankuasa masjid turut melancarkan kutipan derma agar dapat turut sama menyumbang dalam pembinaan masjid baru ini.

“Hasil keprihatinan Kerajaan terdahulu peruntukkan diluluskan bagi membina masjid yang lebih selesa dan kondusif, malah majlis pecah tanah juga telah dilakukan di ketiga-tiga kawasan.”

Selaku Ahli Parlimen beliau amat berat hati untuk menyampaikan berita tersebut kepada khariah setempat sebaik menerima jawapan daripada Datuk Seri Azmin Ali iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi .

“Saya berharap demi agama Islam ianya dapat diteruskan dan dipertimbang semula kerana ianya adalah keperluan semasa memandangkan jumlah khariah yang semakin ramai di Felda Air Tawar 5, Felda Semenchu dan Taman Bayu Damai,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.