Kerjasama UMNO dan Pas Akan Menguntungkan Rakyat – Mohamad Hasan

SHAH ALAM, 4 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dan Pas tidak akan bergabung sebaliknya beliau menegaskan, bahawa kedua-dua parti Melayu terbesar itu akan menjalankan kerjasama politik bagi mewujudkan blok pembangkang yang kuat di dalam parlimen atau di Dewan Undangan Negeri.

Hasan juga menafikan dakwaan bahawa kedua parti itu akan bergabung dan berkata UMNO dan Pas tidak mempunyai perancangan untuk itu, kerana ia agak sukar untuk dilakukan memandangkan latar belakang parti yang berbeza.

“Walaupun platfom perjuangan itu sama, tetapi susah untuk kita bergabung, tetapi apa yang penting ialah kita bekerjasama. Kerjasama antara UMNO, Pas dan parti-parti lain akan mewujudkan blok parti pembangkang yang kuat.

“Ini kerana di Malaysia ini saya merasakan kita perlu menjurus kepada sistem dua parti. Jadi bila ada sistem dua parti, rakyat akan dapat menilai parti mana yang lebih baik dan layak untuk mentadbir negara.

“Daripada parti kecil-kecil dan bersepah-sepah, adalah lebih baik sistem dua parti ini. Jadi rakyat akan dapat menilai dengan lebih senang antara parti A dan parti B dalam pilihan raya umum,” ujarnya.

Jadi kata Hasan, dalam menjurus ke arah sistem parti UMNO dan Pas sebagai dua buah parti terbesar orang Melayu hari ini perlu mengadakan kerjasama untuk menjadi pembangkang yang kuat.

“Bila kita ada blok pembangkang yang kuat di dalam parlimen atau pun dalam Dewan Undangan Negeri, perkara ini akan menguntungkan rakyat. Ini kerana kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tanpa ada ‘check and balance’,” tegasnya.

Apa yang penting kata beliau lagi, dengan wujudnya pembangkang yang kuat, manfaatnya akan dinikmati oleh rakyat.

“Dipenghujungnya, ia akan menguntungkan rakyat, bukannya parti. Sepertimana kita membentangkan manifesto adalah untuk kebaikan rakyat, bukannya untuk kebaikan parti.

“Dengan wujudnya sistem dua parti ini, rakyat akan mudah untuk menilai parti mana yang lebih baik untuk menerajui kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program Diskusi N49 yang diadakan di Command Centre BN, Kg Sungai Kandis sepena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, malam tadi. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.