Perjuangan UMNO Mesti Selaras Dengan Keadaan Melayu Abad 21

SHAH ALAM, 3 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam suasana politik hari ini UMNO perlu menghamparkan satu bentuk politik baru kepada orang Melayu secara khususnya dan kepada rakyat Malaysia secara amnya.

Menurut beliau, UMNO kini kena berubah sebab selama ini parti itu hanya berfokus kepada perkara dalaman sahaja dan tidak memberikan fokus kepada perkara luaran.

“Kita mesti pecahkan beberapa perkara di dalam UMNO di mana satunya adalah isu mahu menang pilihan raya, dan keduanya adalah isu untuk mengislahkan UMNO ini agar parti ini ada platfomnya, ada ideologinya.

“UMNO mesti selaras dengan Melayu yang kini berada di abad 21, bukan Melayu abad 20 lagi. UMNO mesti mendahului dalam soal-soal Islam, bangsa dan tanahair.

“Teras kita ialah akan terus menjadi pengawal kaum dan agama, tetapi kita juga mesti menjadi penjaga kepada kemajmukan negara kita sebagai negara yang berbilang bangsa. Itu perlu agar UMNO diterima bukan saja di kalangan orang Melayu, tetapi kaum-kaum lain juga,” tegasnya.

Jelas Hasan, UMNO telah membuktikan perkara ini selama enam dekad UMNO mentadbir, UMNO tidak pernah menganiaya kaum lain di negara ini.

Bahkan kata beliau, kaum lain seperti kaum Cina menguasai 80 peratus ekonomi, walaupun ada dikalangan mereka yang mendakwa kaum Cina menjadi rakyat kelas kedua di negara ini.

“Saya tak kisah menjadi warga negara kelas kedua kalau kawasan perniagaan di Bukit Bintang itu bangsa Melayu yang kuasai. Apa masalahnya menjadi rakyat kelas kedua kalau ekonomi negara 80 peratus di bawah genggaman kita.

“Jadi tidak betul dakwaan kononnya UMNO ini rasis dan kita tidak menganak tirikan mana-kaum di negara ini. Selama kita memerintah, UMNO mengamalkan dasar ekonomi yang terbuka, dasar ekonomi yang baik untuk semua,” jelasnya.

Katanya, UMNO sebagai sebuah parti yang berasaskan kepada orang Melayu maka mestilah UMNO akan bercakap soal-soal orang Melayu.

“Takkan pula kita nak bercakap tentang kaum lain pula, tetapi apabila kita bercakap tentang kaum lain, kita akan bercakap di dalam Barisan Nasional.

“Jadi itulah yang selama ini UMNO dan BN lakukan. Kita mengharmonikan keadaan, mengambil kira latar belakang negara kita yang berbilang kaum ini,”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program Diskusi N49 yang diadakan di Command Centre BN, Kg Sungai Kandis sepena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang akan berlangsung esok.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas PRU14 berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.