Khairy Jawab Tuduhan Menteri Beri Projek Kepada Syarikat Berkaitan UMNO


KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kesemua perolehan tender di Kementerian Belia dan Sukan bagi tempoh lima tahun bermula 2013 dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan Kementerian Kewangan, kata bekas Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin.

“Walau apapun, saya tegaskan semua perolehan di KBS pada zaman saya jadi Menteri telah mengikuti prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Saya bersedia untuk memberi penjelasan kepada mana-mana pihak termasuk Menteri sendiri, SPRM dan Jabatan Audit Negara tentang keputusan perolehan pada zaman saya menjadi Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan dalam laman facebooknya sebagai penjelasan kepada tuduhan Timbalan Menteri KBS, Steven Sim berkaitan isu perolehan di KBS dalam persidangan Dewan Rakyat semalam.

“Saya sokong keputusan Menteri baharu untuk menguatkan lagi proses tadbir urus (governance) dan integriti di KBS tapi ianya tidak perlu dibuat melalui tuduhan-tuduhan yang sensasi tentang apa yang telah berlaku sebelum ini.

“Ranking KBS sebagai antara 10 Kementerian tertinggi amalan rasuah adalah dari laporan SPRM pada 2016 dan merujuk kepada satu kes iaitu kes yang melibatkan seorang Setiausaha Bahagian Kewangan yang sudah pun didakwa di mahkamah atas penyelewengan sebanyak RM38 juta. Penyelewengan ini bermula sebelum lagi saya menjadi Menteri. Malangnya satu kes itu telah menjejaskan ranking KBS.”

Berikut adalah penjelasan beliau kepada Menteri yang memberi beberapa contoh projek yang kononnya diberi kepada syarikat yang berkaitan dengan UMNO.

1) Projek Akademi Badminton Negara – dilaksana secara tender terbuka.

2) Projek peralatan IKBN – KBS sudah tolak (Menteri akui perkara ini) tetapi diarah untuk buat tender terhad oleh Kementerian Kewangan.

3) Kompleks Belia dan Sukan Rembau – dibuat secara tender terhad (bukan rundingan terus) disebabkan proses pengambilan tanah memakan masa yang lama dan projek itu terpaksa dipercepatkan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.