BN Punyai Peluang Untuk Menang Di Sungai Kandis, Referendum Dari Rakyat

KLANG, 3 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Barisan Nasional (BN) mendapati respon dan juga sambutan daripada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap calon BN sepanjang tempoh berkempan di PRK Sungai Kandis ini amat menggalakkan sekali.

Jelasnya, daripada kajian sikap yang dilakukan oleh pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO, ternyata pengundi di kawasan DUN ini memberikan reaksi positif terhadap kempen yang dijalankan oleh UMNO dan sayap parti sepanjang tempoh berkempen ini.

“Hasil daripada gerak kerja kempen yang dilakukan oleh jentera BN di kawasan DUN ini, kita dapati respon dan sambutan daripada penngundi dan orang ramai amat menggalakkan sekali. Ini berdasarkan daripada hasil kajian sikap yang dilakukan oleh jentera Wanita, Puteri, daripada respon ‘Speaker Corner yang dilakukan oleh Pemuda UMNO, dan juga ceramah-ceramah yang dibuat di setiap peti undi, nampaknya sambutan daripada pengundi tempatan amat positif.

“Saya yakin, jika kita perkasakan lagi jentera untuk bertemu dengan lebih ramai lagi pengundi petang ini, saya berharap agar pengundi-pengundi esok akan memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN untuk membawa suara rakyat dalam DUN Selangor ini.

“Macam saya beritahu, kalah atau menang, ia tidak akan menjadi kudis kepada Pakatan Harapan (PH), tetapi jika diberikan mandat kepada calon BN, ia akan menjadi sebagai satu referendum rakyat di negeri Selangor untuk menyatakan bahawa PH jangan memandang remeh suara rakyat.

“Tunaikanlah janji yang telah dilemparkan menyebabkan pengundi di seluruh negara terpesona dan seterusnya memberikan undi kepada PH untuk menubuhkan kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di dalam satu sidang akhbar bertempat di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.

Tambah Hasan, beliau berkeyakinan sekiranya jentera terus berkerja keras, BN mempunyai peluang yang baik untuk menang dalam PRK Sungai Kandis ini.

“Daripada survey yang dilakukan oleh jentera BN di DUN Sungai Kandis ini, peratusan pengundi yang akan memberikan undi kepada calon BN amat menggalakkan. Seperti yang saya katakan, di dalam PRK seperti ini, menang belum tentu, kalah belum tahu.

“BN ada mempunyai peluang yang baik untuk menang di dalam PRK kali ini. Jadi saya berharap semua pengundi di kawasan ini dapat memberikan kepercayaan kepada calon BN untuk membawa suara rakyat di PRK Sungai Kandis ini,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.