BN Nak Betulkan Hala Tuju Negara Tapi Pentadbiran PH Cukup Pelik…
KLANG, 2 Ogos – Mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan apa yang berlaku berkaitan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehari dua ini cukup pelik.
“Kehadiran untuk bersama dalam kempen ini bukan semata mata nak menangkan calon Barisan Nasional (BN) di sini tetapi lebih daripada itu kita nak betulkan hala tuju negara, kerana apa… sebab ada benda berlaku yang cukup pelik sehari dua ini.
“Ada yang tidak patut… ada yang tidak masuk akal… ada yang janggal tetapi sudah pun berlaku. Antaranya apabila saya tanya rakyat biasa… saya dah beritahu sebelum ini…” katanya.
Beliau yang turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis turut memberikan ucapan ringkas di sini, malam tadi.
Katanya lagi, di bawah dasar BN GST telah diperkenalkan tetapi telah dimomokkan oleh PH sedangkan sebenarnya ia satu sistem percukaian yang adil dan progresif.
“Kenapa saya katakan adil dan progresif… lebih banyak yang dibeli lebih banyak cukai GST… apabila kita dapat hasil GST RM43 bilion yang dijangkakan pada tahun ini kita agihkan kepada rakyat dengan pelbagai cara,” katanya.
Beliau seterusnya berkata PH dilihat sebagai pakatan hampa kerana pelbagai perkara yang dijanjikan termasuk kepada golongan muda sekadar janji.
“Penurunan harga minyak… kalau boleh turunkan harga minyak kepada RM1.50 saya dah buat dah sebelum ini… Macam-macam yang kita dah buat kepada rakyat,” katanya.
Berkenaan calon PRK DUN Sungai Kandis, katanya pemilihan Lokman Noor Adam akan memberi imbangan kepada kerajaan negeri hari ini.
Pada PRK DUN Sungai Kandis, Lokman Noor bakal berdepan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta calon Bebas, K. Murthy.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie dari PKR akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas. – MediaUMNO