Zahid Kagum Semangat Jentera BN, Rakam Penghargaan Kepada Pas


SHAH ALAM, 1 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh jentera parti dan berharap ianya akan kekal serta ditingkatkan lagi hingga ke hari pengundian pada Sabtu ini.

Pada masa yang sama beliau melahirkan penghargaan kepada gagasan parti pembangkang khususnya Pas atas kerjasama mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kali ini.

“Dalam jalinan kerjasama ini secara tidak rasmi telah mendaftarkan kesepakatan… dari status pembangkang yang sama kita merasakan bahawa apa yang telah dilontarkan oleh kerajaan pada hari ini tidak dilaksanakan lantas menjadikan kesepakatan yang longgar dapat dipereratkan kerana tapak perjuangan kita sama walaupun parti berbeza.

“Atas faktor kebersamaan ini ada hikmah yang turun kepada kita. Terima kasih kepada pimpinan Pas pusat, negeri dan Kota Raja khususnya di Sungai Kandis ini.

“Tentunya apa yang saya ingin sentuh di sini bukanlah kita berhasrat menolak parti-parti lain apatah lagi rakan komponen kita atau yang bersahabat dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan ringkas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kandis, di sini.

Ahmad Zahid seterusnya menegaskan perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan harus dihormati oleh semua pihak.

“Kita tahu bahawa banyak perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan apabila kita membangkitkan seolah-olah kita rasis atau kita bangkitkan soal-soal yang berkaitan dengan perkara yang dekat dengan kita iaitu keagamaan seolah-olah kita lebih merujuk kepada keganasan.

“Ini bukan soal keganasan, bukan soal perkauman tetapi kita mahu perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan dihormati oleh semua kaum dan semua parti politik,” katanya.

Tegas beliau, PRK Sungai Kandis adalah tapak baru untuk terus bergerak ke depan.

“Jika di Sungai Kandis ini kita memberi kemenangan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam ianya adalah signal bahawa ini permulaan yang baik.

“Dan yakinlah bermula di Sungai Kandis ini bermula tapak baru untuk kita bergerak. Kemenangan BN di sini tidak akan mengubah struktur kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat tetapi kemenangan Lokman akan membawa suara yang lantang di DUN Selangor,” katanya.

Meneruskan ucapannya Ahmad Zahid turut melahirkan rasa bangga dengan rakan-rakan Ahli Parlimen BN yang bijak berhujah dengan membawa pelbagai perkara yang melibatkan polisi mahu pun dasar di Parlimen.

“Saya berjanji dengan seluruh rakan Ahli Parlimen BN apabila kita ditakdirkan menjadi pembangkang kita menjadi pembangkang yang efektif, konstruktif dan berwibawa.

“Ini dibuktikan bukan hanya apabila kita menyoal perkara-perkara yang menyentuh soal rakyat, menyoal mengenai perkara public policy atau dasar dan sebagainya lagi.

“Saya berbangga dengan rakan-rakan saya yang dengan segera dapat mengubah cara berhujah, cara berfikir dan cara bertindak. Kita jadi pembangkang yang disegani dan ditakuti hari ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.