Keputusan Kerajaan PH Teruskan Agenda BN Bukti Pentadbiran Najib Cemerlang

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda-agenda kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini adalah satu pengiktirafan kepada pentadbiran di bawah teraju Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Jelas beliau, ini membuktikan hanya di bawah pentadbiran Najib telah berlaku lonjakan semula pemilikan ekuiti di kalangan Bumiputera.

“Saya percaya menteri juga tahu bahawa soal meningkatkan ekuiti Bumiputera ini nampaknya satu perkara yang cukup mencabar, kerana kita dapati di awal pelaksanaan program-program ekonomi dulu misalnya pada tahun 1970, waktu itu pemilikan ekuiti Bumiputera hanya pada tahap 2.4 peratus sahaja.

“Tapi dalam 10-15 tahun berikutnya, kita dapat meningkatkan dengan banyak dengan adanya dasar-dasar yang diperkenalkan iaitu pada tahun 1983 pada kadar 18.7 peratus daripada 2.4 peratus.

“Kemudian daripada 1983 sampai hampir 20 tahun di bawah Ahli Parlimen Langkawi (Tun Dr Mahathir) waktu itu, kita dapati peningkatan ekuiti Bumiputera tidak meningkat. Pada tahun 1983, 18.7 peratus, di akhir pentadbiran Langkawi yang memperkenalkan pelbagai dasar pada waktu itu, ekuiti Bumiputera masih direkodkan pada tahap 18.7 peratus,” ujar beliau ketika mencelah penggulungan titah di-Raja oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi oleh menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Annuar, pentadbiran BN dari tahun 2009 sehingga awal 2018 telah terbukti berjaya meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dan pencapaian ini jauh berbeza ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.