Biadap Dan Kurang Ajar, Ahli Parlimen Kerajaan Perlu Hormati Sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahrul Nasrun Kamaruddin membidas sikap kurang ajar ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan sebagai memalukan Dewan Rakyat.

Jelas beliau, sikap segelintir Ahli Parlimen PH mengganggu dan mencelah ucapan Ahli Parlimen pembangkang (BN) dengan mengaitkan isu-isu yang tidak berkaitan dan sentiasa melanggar peraturan mesyuarat dilihat amat tidak matang dan gagal untuk berperanan sebagai Kerajaan.

“Sebaik bermulanya Dewan Rakyat penggal ke-14, rakyat dapat melihat pelbagai gelagat wakil yang dipilih mereka ketika PRU-14 yang lalu. Aksi cabar-mencabar dengan kata-kata kurang enak dan kurang sopan selain kenyataan bersifat provokasi telah menjadi rutin perbahasan dalam Dewan Rakyat kali ini… di mana inilah pertama kali Dewan Rakyat bersidang dengan Kerajaan baru.

“Sejak bermulanya usul perbahasan bagi menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, saya cukup tertarik melihat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer. Bagi saya Rayer begitu komited mencelah di setiap ucapan Ahli Parlimen BN sehinggakan isu yang dibangkitkan tidak sampai disebabkan masa terbuang kerana gangguan yang dicipta oleh Rayer.

“Lebih biadap lagi apabila semalam Dewan Rakyat kembali kecoh kerana perkataan ‘kepala bapak’ yang digunakan oleh Rayer sehinggakan Yang di-Pertua Dewan bertindak memberi amaran,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Shahrul, Ahli Parlimen Jelutong ini seharusnya sedar bahawa dirinya kini bergelar Ahli Yang Berhormat.

“Sikap kurang ajar dan biadap ini tidak seharusnya terjadi dalam Dewan Rakyat. Adakah Rayer tahu lagak samseng yang ditunjukkan boleh menyebabkan rakyat hilang rasa hormat kepada wakil rakyat?

“Rayer wajib tahu dirinya dipilih bagi membawa suara rakyat bukannya untuk menunjukkan kejantanan atau keberanian apatah lagi menghina pihak lain di dalam Dewan Rakyat.

“Sekiranya Rayer benar-benar mahu menunjukkan kejantanan, saya sarankan Rayer melepaskan jawatan Ahli Parlimen Jelutong dan sertai perlawanan Ultimate Fighting Championship (UFC). Saya pasti ramai yang inginkan Rayer sebagai ‘sparring partner’ mereka,” tegas beliau.

Shahrul turut menyarankan semua Ahli Parlimen khususnya Jelutong agar tahu menjaga adab sepanjang perbahasan kerana setiap perilaku serta ucapan di dalam Dewan Rakyat sedang dipertontonkan dan dinilai oleh rakyat.

“Jangan lupa, Dewan Rakyat adalah tempat untuk membawa isu dan permasalahan rakyat, bukannya tempat untuk berlagak hero,” sindir beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.