UMNO Sambut Baik Penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan

KLANG, 30 Julai – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad menyokong dan menyambut baik perkenan Majlis Raja-raja menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima tokoh pentadbir, agama dan akademik, dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.

“Kita menyokong dan menyambut baik jawatankuasa ini, mungkin ada yang perlu diperbetulkan dan juga mengambil kira keadaan sekarang ini yang ada banyak isu-isu berkaitan dengan bangsa dan agama… banyak dipersoalkan, banyak diperkatakan dan ini kita menyokong penubuhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ‘Ziarah Kasih’ Pergerakan Wanita UMNO sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini.

Dalam program ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong telah bersama-sama calon BN, Datuk Lokman Noor Adam ke rumah bekas calon Pas DUN Sg Kandis PRU-14, Tuan Mohd Yusof Abdullah di Jalan Kebun, Klang.

Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan dianggotai lima ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dengan persetujuan Raja-Raja Melayu, manakala Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai urus setianya.

Ia akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Timbalannya, Datuk Dr Afifi al-Akiti, manakala keahlian jawatankuasa itu terdiri daripada wakil Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.