Impian Rakyat Untuk Hidup Selesa Di Bawah Kerajaan Baru Hanya Tinggal Harapan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, impian rakyat kononnya selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pimpinan, kehidupan mereka akan semakin selesa kini hanya tinggal harapan.

Jelas beliau, peneroka Felda juga menerima nasib yang sama apabila janji untuk menghapuskan hutang peneroka sehingga kini tidak dilaksana.

“Saya yakin mandat dan keyakinan yang diberikan rakyat kepada PH kerana rakyat terpengaruh dengan janji dalam manifesto untuk hapus tol, turun harga brang, turunkan harga minyak, hapuskan PTPTN dan lain-lain.

“Tapi lepas PRU-14 hingga kini harapan menggunung tinggal harapan semata-mata. Kehidupan rakyat bukan jadi makin selesa tapi makin tertekan dan teruk,” ujar beliau dalam ucapan membahas titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Sidang Dewan Parlimen hari ini.

Jelas Ismail, peneroka Felda juga amat kecewa apabila janji untuk menghapuskan hutang masih tidak dilaksana sedangkan pendapatan mereka semakin berkurangan.

“Justeru saya berharap agar kerajaan baru ini yang mengatakan akan menjaga kebajikan rakyat, dapat mengambil tindakan untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah.

“Kenaikan harga barang juga semakin tinggi walaupun harapan yang diberikan PH bahawa GST akan dihapuskan dan harga barang akan turun tapi hari ini harga barang terus meningkat dan saya yakin selepas SST diperkenalkan pasti harga barang terus naik.

“Sudah pasti ini akan berikan bebanan kepada peneroka dan nelayan. Dulu kerajaan BN ada memberikan bantuan ‘one off’ kepada peneroka maka saya pohon kerajaan hari ini dapat meneruskan bantuan ini,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.