Beri Mandat Pada Calon BN Sebagai Isyarat Kepada PH Kenapa Berjanji


SHAH ALAM, 30 JULAI – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaakob menyeru golongan pengundi khususnya wanita di Sungai Kandis agar memberikan undi kepada calon Barisan Nasional (BN) sebagai satu isyarat kepada kerajaan PH agar menunaikan janji sepertimana di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, tindakan kerajaan yang mengakui tidak mampu untuk menunaikan janji-janji mereka dalam tempoh 100 hari merupakan satu perkara yang amat mengecewakan.

“Janji KWSP untuk suri rumah merupakan janji khusus untuk golongan wanita di dalam 10 janji kerajaan PH itu.

“Namun sehingga hari ini kita masih belum nampak bayangnya. Kita tidak tahu apa perkembangannya serta hujung pangkal perkara tersebut.

“Golongan wanita seharusnya memberikan isyarat kepada kerajaan agar serius dalam melaksanakan segala janji-janji mereka.

“Sebab itu, saya mengira bahawa PRK Sungai Kandis ini merupakan masa yang terbaik bagi golongan wanita menghantar mesej kepada kerajaan agar melaksanakan janji mereka, dengan memberikan undi untuk kemenangan calon BN, iaitu Datuk Noor Lokman Adam,” ujar.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Diskusi N49 anjuran Media UMNO Malaysia yang bersiaran secara langsung menerusi laman facebook rasmi UMNO Online, malam tadi.

Manakala bagi Dato’ Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang turut diundang sebagai ahli panel dalam diskusi ini, menyeru pengundi di Sungai Kandis agar melihat bahawa selama 88 hari kerajaan PH memerintah, hanya satu janji sahaja yang baru mereka mampu tunaikan.

“Tapi janji-janji lain nampaknya tidak ada, ini diakui oleh kerajaan sendiri dan kita tidak nampak sebarang solusi yang dibuat oleh kerajaan untuk melaksanakan janji-janji mereka itu.

“Jadi untuk pengundi di Sungai Kandis, mereka perlulah memberikan isyarat kepada kerajaan negeri dan juga Persekutuan, bahawa memenangkan calon BN kerana protes kerana kerajaan hari ini telah mungkir janji kepada pengundi,” ujarnya lagi.-MediaUMNO