Noh Omar Kecewa Kenyataan Menteri Hina Orang Melayu Penerima BR1M

SHAH ALAM, 26 Julai – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menyatakan rasa sedih dan kecewa dengan kenyataan seorang Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik memperlekehkan orang Melayu yang menerima skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dengan kenyataan yang berbunyi seolah-olah menghina orang Melayu yang merupakan bangsa paling ramai menerima bantuan tersebut.

Menurut Noh, inilah masalah orang Melayu yang tinggal di bandar ini, di mana mereka mula lupa asal-usul bangsanya dan tidak melihat sejarah bagaimana kehidupan orang Melayu di zaman sebelum merdeka.

“Kita kena tengok pada sejarah di masa pemerintahan British dulu. British mengamalkan dasar pecah dan perintah. Orang Melayu duduk kampung, orang India duduk estet dan orang Cina duduk di bandar.

“Zaman Allayarham Datuk Harun, beliau yang membawa orang-orang Melayu duduk di bandar dengan perancangan urbanisasi dengan bermulanya penempatan setinggan. Bila sudah ramai setinggan, maka kita susun balik penduduk di kawasan penempatan setinggan-setinggan itu. Buatlah bermacam-macam projek perumahan.

“Jadi bermakna, orang Melayu duduk di bandar, masih lagi dalam keadaan hidup yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dan keadaan hari ini juga ada yang begitu walaupun jumlahnya sudah berkurangan, yang mana sudah berjaya, Alhamdulillah. Mereka juga berjaya di atas dasar-dasar yang UMNO buat.

“Jadi secara kebetulan, dengan jumlah sebagai bangsa yang mempunyai jumlah majoriti paling ramai di dalam negara ini, Melayu juga merupakan jumlah penerima BR1M yang paling tinggi di negara ini. Jika kita potong atau hapuskan BR1M, maka sudah tentulah orang Melayu akan terasa dengan pemotongan tersebut,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Diskusi N49 anjuran Media UMNO Malaysia dan Penerangan yang bersiaran secara langsung menerusi laman facebook malam tadi.

Jelasnya lagi, ketika kerajaan BN memerintah, seramai tujuh juta rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum menerima skim bantuan tersebut.

“Dulu, semua kategori rakyat yang layak dapat menerima BR1M, malah orang bujang pun turut dapat menerima BR1M tapi sekarang, dengan dasar baru kerajaan hari ini, berapa orang saja yang boleh dapat bantuan tersebut.

“Hari ini, bukan setakat BR1M sahaja yang dipotong, tetapi banyak lagi bantuan-bantuan lain yang dahulu diberikan oleh kerajaan BN turut dipotong, malah ada yang dihapuskan. Sehingga kini, tiada sebarang alternatif yang diwujudkan oleh kerajaan untuk menggantikan segala bantuan tersebut bagi meneruskan bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” ujarnya lagi.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.