Perlu Rujuk Pihak Berkuasa Keselamatan Sebelum Mansuh SOSMA

SHAH ALAM, 25 Julai – Sebarang usaha untuk memansuhkan apa jua akta keselamatan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), perlu dirujuk kepada pihak berkuasa keselamatan terlebih dahulu.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata ini kerana tindakan pemansuhan itu dibimbangi akan mendedahkan negara kepada ancaman keganasan.

Jelas beliau, SOSMA yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan BN pada 2012, bersifat pencegahan awal atau ‘preemptive’, di mana tindakan penahanan mana-mana individu terletak di bawah bidang kuasa mahkamah dan bukannya melalui kuasa menteri atau ketua polis negara.

“Preemptive bererti kita tahan orang melalui mahkamah, bukan menteri bukan IGP (ketua polis negara) tetapi mahkamah yang putuskan bahawa seseorang itu ada risiko besar bahawa dia boleh buat tindakan keganasan.

“Dengan adanya SOSMA kita menyelamatkan nyawa dan harta benda. Pada saya nyawa dan harta benda tidak boleh digadai dengan apa-apa pertimbangan lain sebab kesannya kalau satu sahaja kejadian keganasan berlaku boleh memusnahkan keyakinan dunia terhadap Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya SOSMA.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.