PRK Sg Kandis Peluang Rakyat Terjemahkan Ketidakpuasan, Tuntut Kerajaan Tunai Janji – Ahmad Maslan


SHAH ALAM, 22 Julai – Pengundi di Sungai Kandis boleh menterjemahkan ketidakpuasahan hati mereka terhadap kerajaan yang ada hari ini khususnya pasca Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 9 Mei dengan membuat pilihan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Lokman Noor Adam pada 4 Ogos nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahamd Maslan berkata dengan cara itu tentunya kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan akan tersentak malah  mungkin akan melihat dan menilai dengan mendalam  segala yang menjadi rungutan rakyat di akar umbi terutama segala janji mereka.

“Pada saya mereka yang berdaftar sebagai pengundi di Sungai Kandis ini perlu memberikan peluang kepada Lokman jika ingin kerajaan Selangor menunaikan janji mereka dan jika ingin melihat kerajaan pusat menunaikan janji mereka.

“Secara kebetulan pula Lokman adalah pemantau yang memerhatikan kerajaan yang ada hari ini  dan sejak 9 Mei lalu banyak isu-isu yang timbul selain perkara yang menjadi rungutan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Ahmad turut menepis pelbagai dakwaan yang berkaitan calon yang diketengahkan oleh BN pada PRK Sungai Kandis.

“Ada orang kata Lokman orang Johor…saya nak sebutkan MB Selangor orang kawasan saya daripada Benut. Jika MB Selangor boleh datang daripada Pontian, saya kira sebagai ADUN tidak menjadi masalah walaupun bukan anak tempatan.

“Jadi kita harapkan segala ketidakpuasan hati kita sejak 9 Mei yang lalu boleh dibuat dengan memilih calon BN pada hari pembuangan undi nanti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.