Isu Anak Tempatan Tidak Timbul, Siapa Ahli Parlimen Kota Raja? – Calon BN

SUNGAI KANDIS, 22 Julai  – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata  sekiranya pihak lawan memainkan isu bukan calon anak tempatan di PRK ini, seharusnya mereka mempersoalkan dahulu ahli Parlimen Kota Raja yang sudah jelas bukan anak tempatan.

Jelas beliau, sebenarnya apa yang lebih penting adalah individu tersebut mampu atau tidak untuk membela nasib rakyat.

“Pertama, syarat untuk bertanding mestilah anak Selangor dan kedua sekiranya mereka memainkan isu bukan calon tempatan mereka sepatutnya mempersoalkan Ahli Parlimen di sini dahulu.

“Selain itu kita juga dapat lihat ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjadi wakil rakyat bukan di kawasan mereka seperti Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Pandan dan arwah Adun di sini juga bukan anak tempatan,” jelas beliau kepada media selepas program walkabout di Taman Sri Andalas di sini hari ini.

Tambah Lokman, sekiranya terpilih sebagai ADUN di sini, beliau berjanji tidak sama sekali bertukar kawasan.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

SPR menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76). – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.