Himpunan Bantah UEC – Menteri PH Diminta Jangan Beretorik Kononnya Angkat Suara Anak Muda
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Faizzuddin Zai melahirkan kekecewaan dengan sikap menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila tidak hadir dalam perhimpunan membantah hasrat kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Jelas beliau, Syed Saddiq sentiasa mengangkat suara anak muda dalam ucapannya namun adakah kerana perhimpunan kali ini disertai oleh mahasiswa yang tidak terlibat dengan politik maka suara mereka ini tidak diendahkan.
“Beliau sepatutnya hadir hari ini tetapi kami kecewa kerana dia tidak hadir. Kita tidak mahu dia hanya retorik di media sosial.
“Glamour kononnya mengangkat suara anak muda tetapi adakah suara mahasiswa hari ini tidak perlu diangkat kerana kami tidak berada dalam parti politik?
“Dia sepatutnya buktikan bahawa dia tidak berretorik,” jelas beliau kepada media selepas menyertai perhimpunan tersebut di perkarangan sebuah pusat membeli-belah terkenal di ibu kota hari ini.
Dalam pada itu, Faizzuddin juga menyeru kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik agar jangan sesekali takut dalam membuat keputusan.
“Kami melihat Menteri Pendidikan yang baru ini seperti tidak mempunyai pendirian dan dia seolah-olah ditekan oleh timbalannya sendiri untuk tetap melaksanakan UEC ini.
“Dia janganlah takut… kami mahasiswa akan berada di belakangnya.
“Seperkara lagi yang ingin saya tegaskan di sini, perhimpunan ini tidak ditaja oleh mana-mana parti politik. Ini adalah suara kami mahasiswa yang membantah pelaksanaan UEC,” ujarnya lagi.
Sebelum ini Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa kerajaan PH akan tetap meneruskan rancangan untuk mengiktiraf UEC selaras manifesto mereka pada pilihan raya umum lepas
dengan menegaskan, pihaknya tidak akan membuat ‘pusingan u’ atau dilihat flip-flop dalam perkara itu. – MediaUMNO