Tanding Di PRK Sg Kandis, Guna Logo BN Keputusan Tepat – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Keputusan UMNO bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sg. Kandis suatu langkah yang tepat apatah lagi ini PRK pertama yang UMNO sertai selepas PRU 14 Mei lalu, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, keputusan parti untuk terus menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) dalam PRK dibuat secara bersama setelah mengambil kira dan pertimbangan dalam semua aspek dan ia merupakan langkah tepat.

“Melalui pilihanraya ini, ia boleh menjadi kayu ukur penting pada parti untuk melangkah lebih jauh kehadapan.

“Apabila parti mengambil keputusan meletakkan calon bertanding di kawasan ini, maka ia sudah menjadi suatu yang penting untuk digalas bersama. Jadi apa juga perkara yang dilakukan semasa pilihanraya ini, ia mesti diperhalusi dalam pelbagai aspek kerana semuanya akan memberikan kesan pada masa kini atau jangka masa panjang kepada parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, dalam situasi inilah pertimbangan sewajarnya perlu diambil kira terutama perkara penting kepada parti seperti penggunaan lambang parti di PRK ini.

“Selain parti tidak mahu memberikan masej yang salah kepada rakyat, kita juga perlu sedar hakikat bahawa BN masih lagi dianggotai oleh beberapa buah parti utama walaupun terdapat beberapa buah parti yang telah meninggalkan BN sebaik keputusan PRU 14 diumumkan Mei lalu.

“Malah kita berkeyakinan, keanggotaan BN akan kembali bertambah selepas ini, maka adalah penting untuk kita terus memperkukuhkan hubungan sesama parti atas kepentingan rakyat pelbagai kaum dalam negara ini.”

Jelas beliau, keadaan di Sg Kandis terutama komposisi pengundi di kawasan berkenaan juga perlu diambil serius dalam menentukan parti mana bertanding dan apa lambang yang wajar digunakan.

“UMNO berkeyakinan walaupun BN sudah mengalami pengurangan bilangan parti komponennya ketika ini , namun kita yakin akan kembali kuat di situasi sebagaimana sebelum ini pada masa akan datang. Namun ia memerlukan kerja kuat semua pihak termasuklah mendapat keputusan baik dalam PRK Sg Kandis,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO