PRK Sg Kandis Ukuran Penerimaan Rakyat Terhadap BN

SHAH ALAM, 20 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Kandis merupakan gelanggang terbaik untuk mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) yang lalu.

Menurut beliau menang atau kalah adalah ketentuan Allah s.w.t namun jentera parti akan berusaha sebaik mungkin dalam memberikan pilihan terbaik untuk masyarakat membuat pilihan pada hari pembuangan undi nanti.

“Walaupun baru sahaja PRU berlalu, dan pada masa yang sama terdapat juga pandangan mengatakan BN tidak perlu bertanding, namun bagi saya dan rakan-rakan pimpinan lain, ini adalah ‘venue’ terbaik untuk kita menjalankan ‘testing’ melihat sejauh mana penerimaan orang ramai terhadap BN.

“PRU ke-14 tidak rasional jadi PRK ini kita boleh lihat sejauh mana rasionalnya orang melihat dan memilih parti yang boleh mereka jadikan tempat untuk mewakili mereka di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Kita harap pengundi boleh berikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman calon di Pejabat UMNO Kota Raja, di sini, hari ini. Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan UMNO serta BN.

Tegas beliau keputusan parti untuk bertanding atas logo BN adalah untuk memperlihatkan parti berkenaan perlu diperkasakan.

“Kesediaan meletakkan calon atas tiket  BN  memperlihatkan komitmen kita yang akan terus menjadi parti yang berkhidmat kepada rakyat dan akan merampas kembali kerajaan pada PRU ke-15 akan datang.”

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR pada 2 Julai. Penamaan calon ditetapkan esok

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76). – MediaUMNO