Beri Peluang Presiden Laksanakan Tanggungjawab Perkukuhkan Parti – Shahar


KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Shahar Abdullah meminta agar Datuk Puad Zarkashi agar tidak mengeruhkan suasana dan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak konstruktif ketika Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi sedang berusaha memperkukuhkan parti hari ini.

Sebagai ahli UMNO, beliau menyatakan rasa hormati berhubung pertanyaan Datuk Puad Zarkashi kepada Presiden UMNO mengenai hala tuju parti, kerana sebagai ahli beliau sememangnya berhak untuk mengetahuinya.

“Walau bagaimanapun, saya memohon agar Datuk Puad menjadi seorang ahli UMNO yang mempunyai jiwa yang besar dan percaya dengan usaha yang sedang dibuat untuk mengembalikan semangat parti, sekali gus tidak mengeruhkan keadaan dan mewujudkan situasi yang tidak selesa dalam parti keramat ini dengan kenyataan-kenyataan seperti ini.

“Datuk Puad perlu sedar bahawa untuk memimpin parti yang pertama kali pertama duduk di kerusi pembangkang setelah 61 tahun berkhidmat sebagai parti yang memerintah, bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan iltizam yang tinggi malah cara kita tidak boleh lagi sama seperti dahulu,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Ujarnya lagi, peluang harus diberikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid yang baru sahaja 19 hari mengemudi parti untuk menggunakan caranya tersendiri dalam menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi UMNO hari ini.

Dengan akaun parti yang masih dibekukan oleh SPRM, Presiden dan penjawat parti juga terpaksa mengikhtiarkan kos lain untuk menggerakkan rancangan serta manifesto parti, jelas Shahar.

“Saya percaya Datuk Seri Ahmad Zahid tidak pernah lari dari asas politik UMNO, cuma keadaannya sekarang memerlukan pendekatan yang berlainan dan inklusif.

“Jadi, bersama-samalah kita mentadbir segala hal-ehwal parti secara lebih bersopan, bukan dengan cara mewar-warkan ketidakpuasan hati kerana rakyat sedang menilai setiap gerak geri kita. Janganlah ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’,” tegasnya.-MediaUMNO