UMNO Akan Guna Logo BN Di PRK Sungai Kandis

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata UMNO akan bertanding menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos ini. 

Jelas beliau, ini adalah bagi mengelakkan orang ramai menerima signal yang salah sekiranya calon UMNO bertanding atas logo parti.

“BN masih wujud dan kekal.. tidak berpecah. Mungkin ada sebahagian rakan kongsi kita yang bergerak secara bersendiri seperti di Sarawak tetapi MIC, MCA masih dalam BN jadi kita akan guna logo BN.

“Kita tidak mahu hantar ‘wrong signal’… nanti orang fikir BN sudah berpecah. Setakat ini kita masih mahu guna logo BN,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
SPR menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76). – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.