Manifesto Adalah Janji, Tak Tunai Janji Dianggap Munafik – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) lantaran kegagalan menunaikan janji-janji sebagaimana dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Dosa ada dua, dosa kepada rakyat dan dosa kepada tuhan. Kita kena ingat, betullah manifesto bukan kitab suci Al-Quran tapi manifesto itulah yang merupakan janji mereka kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn hari ini.

Katanya, rakyat memberikan undi atas janji bulan dan bintang yang telah mereka janjikan.

“Janji ini dari segi kitab suci pun, mana-mana agama pun meletakkan janji sebagai satu perkara yang amat besar natijahnya sekiranya kita tidak melunaskan.

“Dari segi Islam, orang yang tidak melunaskan janji ini dianggap sebagai orang yang munafik dan dosanya amat besar. Dosa besar janji yang tidak tertunai ini bukan sekadar kita boleh minta ampun dari Allah SWT tapi harus minta maaf dari seluruh rakyat.”

“Jadi kita minta kerajaan sedia ada memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia kalau benarlah mereka tidak mampu untuk melunaskan janji mereka.”

Tegasnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) jatuh kerana janji yang begitu didambakan oleh rakyat.

“Kita pun seronok jika janji itu dapat ditunaikan. Mereka yang berjanji untuk melunaskan dalam masa 100 hari. Kita hanya nak mereka menunaikan janji-janji yang mereka.

“Menteri Pendidikan kata, kalau tol tak dihapuskan rakyat boleh tuntut daripada mereka jadi saya harap rakyat bolehlah menuntut kepadanya.

“Ini adalah kempen mereka dan kempen mereka begitu mengujakan rakyat sehingga rakyat akhirnya memilih mereka.

“Takkanlah mereka nak menafikan hak rakyat dan menipu rakyat. Kerajaan yang menipu rakyat adalah kerajaan yang tidak jujur, kerajaan yang tidak jujur tidak akan diberkati dan tidak akan bertahan lama,” katanya lagi. – MediaUMNO