Kerajaan Diminta Jelaskan Pendirian Mengenai Hifz Ad-Din

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung konsep Hifz  Ad-Din yang menimbulkan kekeliruan kerana ianya boleh memberikan implikasi yang besar terhadap pandangan umum.

Menurut beliau ucapan yang dikeluarkan oleh menteri yang menjaga hal ehwal agama di jabatan perdana menteri itu sekurang-kurangnya perlu diberikan penjelasan.

“Baru-baru ini menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan satu kenyataan di dalam ucapan rasmi untuk menghuraikan tanggungjawab dalam menjaga agama dalam konteks JAKIM dan JPM itu dibawah prinsip HIfz Ad-Din ditafsirkan sebagai menjaga semua agama dan menteri telah memberikan alasan berdasarkan prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin.

“Jadi saya ingin bertanya kerana sekiranya menteri berpegang kepada konsep sedemikian dan condong ke arah pluralism ini sangat merbahaya. Jadi soalan saya apakah ucapan menteri itu yang bercanggah dengan tafsiran semua ulama muktabar tentang Hifz Ad-Din ini, apakah pendirian kerajaan dan tidakkah kenyataan itu perlu ditarik balik atau sekurang-kurangnya diberikan penjelasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam soalan tambahan kepada soalan asal pada sesi soal jawab lisan Sidang Mesyuarat Pertama Pengal Pertama Parlimen Ke-14 2018, di sini hari ini.

Dalam soalan asal, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian berhubung tuntutan  pembubaran  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta turut mempertikaikan pemberian dana awam dalam pembangunan Islam  di negara ini dan apakah tindakan agar isu melibatkan sensitiviti agama  Islam terus dibendung.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dalam jawapannya berkata kenyataan menteri berkenaan diputar belit oleh media.

“Saya kira kenyataan Menteri telah diputarbelit oleh media. Sebab hifz  ad-din yang dimaksudkan oleh Menteri dalam ucapannya jelas menggariskan bahawa kita harus menjaga agama tetapi pada masa yang sama harus berlaku ‘engadgement’  dengan agama-agama lain,” katanya.

Katanya lagi yang mewakili Menteri, pihaknya terbuka kepada perbincangan berhubung isu tersebut.

Dr Mujahid Yusof Rawa  sebelum ini menyatakan bahawa ucapannya yang memperkatakan tentang menjaga agama lain disalah tafsir.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.