Kerajaan PH Perlu Beri Penjelasan Kenapa Rizab Negara Menjunam? – Zahid
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempersoalkan kenapa rizab negara menjunam secara berterusan dalam tempoh 60 hari selain aliran keluar dana asing dari pasaran modal juga semakin bertambah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menimbulkan persoalan tersebut lantas meminta penjelasan daripada Kerajaan Pakatan Harapan(PH) menerusi ucapannya dalam persidangan di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, impian untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020-2024 adalah bercanggah dengan apa yang berlaku sekarang ini.
“Pada bulan Mei 2018, rizab antarabangsa negara berjumlah 109.4 bilion dolar Amerika, cukup untuk menampung 7.6 bulan import tertangguh dan membiayai 1.1 kali hutang luar jangka pendek.
“KDNK negara pada suku ketiga 2017 mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak tahun lalu, iaitu 6.2 peratus. Pada tahun ini, unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia pada April 2018, ia diturunkan kepada 5.4 peratus. Ini hakikat kerana kita harus melihat bahawa apa yang sedang berlaku.”
Beliau mengambil unjuran Morgan Stanley yang menyatakan bahawa nilai ringgit akan berada pada paras 4.10 bagi setiap dolar Amerika hujung tahun ini yang dianggap paling membimbangkan.
“Biarpun pada dasarnya ia baik kepada pengeksport, ia adalah sebaliknya bagi pengimport dan pelabur asing yang cukup mendukacitakan.
“Kami juga bimbang kerana hanya dalam tempoh 60 hari saja, rizab negara menjunam kepada 104.7 bilion dolar Amerika, menyusut 9 sebanyak 4.7 bilion dolar Amerika.
“Kami mohon kerajaan menjelaskan kenapa ini berlaku, dan apakah aliran penurunan ini akan berterusan dan untuk tempoh berapa lama? Kami juga meminta kerajaan menjelaskan apakah pendekatan yang diambil untuk menyekat aliran turun rizab negara ini.”
Tegasnya, pembangkang meminta kerajaan untuk memperincikan aliran keluar dana asing dari pasaran modal, yang kelihatan amat membimbangkan.
“Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MIDF Research, pada Jun 2018, aliran keluar dana asing adalah antara yang tertinggi iaitu RM 4.93 bilion. 25.
“Sebelum peralihan kuasa, aliran keluar dana asing hanyalah sebanyak RM 1.89 bilion. Aliran keluar dana asing pada Jun 2018 dan terkumpul hingga kini adalah berjumlah RM 6.82 bilion. Mengapakah ini terjadi?”
Ujar beliau lagi, pada penghujung Jun 2018, MIDF juga menyatakan bahawa indeks saham FBM KLCI akan menjunam ke paras 1,665.68 mata, kadar terendah sejak Januari 2018.
“Bolehkah kerajaan memperincikan fenomena ini dan apakah kesannya kepada jangkaan prestasi keseluruhan bagi tahun 2018?”. – MediaUMNO