Pelaksanaan SST Bakal Tambah Beban Rakyat – Najib
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata rakyat kini berasa bimbang dan curiga dengan langkah pelaksanaan SST kerana ia dijangka akan menaikkan harga barang sekurang-kurangnya 10 peratus untuk barangan dan enam peratus untuk berkhidmatan.
Jelas beliau, perkara ini akan memberi kesan buruk terhadap kos sara hidup dan ia bakal menambah beban kepada rakyat.
“Saya akan memberi komen dan fakta tentang perkara ini dalam ucapan saya di Parlimen nanti. Tetapi secara umumnya saya dapat melihat reaksi rakyat yang kecewa bila GST disifarkan. Rata-rata memberi komen harga barang tidak kurang malah turut ada yang naik.
“Ini menunjukkan impak dan kesan dalam janji manifesto pembangkang tidak tercapai. Kini rakyat mula bimbang dan curiga bila SST akan dilaksanakan. Sudahlah pemansuhan atau GST sifar tidak memberi kesan, ditambah pula dengan SST… maknanya beban rakyat akan terus bertambah,” jelas beliau kepada media di Parlimen hari ini.
Untuk rekod, mesyuarat Dewan Rakyat penggal ini akan berlangsung selama 20 hari sehingga 16 Ogos depan. – MediaUMNO