Kerajaan PH : Isu Intergriti, Speaker, Zeti Dan ‘Rule Of Law’

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lantaran kekecohan dalam persidangan Dewan Rakyat semalam yang menjadi bukti tiadanya integriti dalam kepimpinan mereka apabila perlantikan Speaker tidak mengikut peraturan.

Katanya, hal tersebut bukan soal orangnya yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat tetapi peraturannya.

“Sepatutnya notis 14 hari dihantar kepada Setiausaha Dewan siapa nama yang dicadangkan, maka wajar sekali ahli Parlimen BN dan PAS keluar Dewan kerana Kerajaan PH semakin galak menggunakan law of the jungle bukan rule of law,” katanya dalam catatan dalam laman facebooknya.

Ujar beliau, rakyat perlu bangkit menentang kemungkaran Kerajaan PH.

“Soal intergriti ditolak ketepi. Buat keputusan sesuka hati dan buat perlantikan juga sesuka hati. ‘Malaysia Baru’ apa ini?

“Satu lagi contoh, kenapa orang seperti Tan Sri Wahid Omar yang berintegriti ditekan untuk meninggalkan PNB sedangkan dia bukan pentaksub tegar. Sebab itu dia minta tidak disenaraikan dalam barisan Kabinet terakhir Datuk Seri Najib dan jawatannya di PNB diambil alih oleh Tan Sri Zeti sedangkan suami Zeti dikatakan pemilik Syarikat Azair yang mendapat kontrak besar ‘perigi tiub’ iaitu pembekalan air untuk sekolah sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak.

“Projek tersebut bermasalah kerana banyak perigi yang tidak mengeluarkan air atau air keluar tetapi berbau busuk. Syarikat Azair dikatakan disambung kontrak ‘maintenance’ walaupun projek itu gagal.”

Bidas beliau, kalau Tan Sri Shahrizat Jalil terpaksa meletak jawatan Menteri kerana isu NFC yang melibatkan suaminya (mahkamah putuskan Rafizi bersalah) maka kenapa Zeti tidak berbuat perkara sama.

“Justeru kita minta KPM dan Dr Mazlee buat forensik dalaman terhadap projek Perigi Tiub untuk sekolah sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak. Dedahkan kalau bermaruah,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO