Pandikar Amin dan Salleh Said Dilantik MT UMNO

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengisi kekosongan dalam jawatan terbabit, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

“Presiden setuju melantik Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk mengisi kekosongan dalam MT dengan mengambil kira beliau mempunyai pengalaman yang luas berkaitan tatacara persidangan Dewan Rakyat dan beliau bersetuju untuk menerima pelantikan ini,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO hari ini.

Katanya, berhubung dengan kepimpinan UMNO di Sabah, Presiden parti iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan berkaitan pentadbiran negeri namun kemudiannya menerima syor dari Salleh berkaitan hal ini.

“Presiden telah bersetuju atas syor Datuk Seri Salleh yang dibuat secara kolektif oleh UMNO Sabah untuk melantik Datuk Seri Hajiji Noor (Tuaran) sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Sabah sementara Setiausaha UMNO Sabah ialah Datuk Seri Marsidi Manjun (Ranau).

“Datuk Seri Salleh telah berunding dengan kawan-kawan di Sabah dan syor melalui nota bertulis dibuat kepada Presiden bahawa pengerusi hendaklah diberikan kepada wakil rakyat. Beliau berjiwa besar dengan cadangan ini dan dilantik sebagai ahli MT menggantikan kekosongan tempat Datuk Seri Hajiji yang menjadi pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN).

“Datuk Seri Pandikar kekal sebagai Ketua Penerangan UMNO Sabah dan begitu juga Timbalan Pengerusi BPUN Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin”

Dalam hal ini beliau melahirkan penghargaan kepada UMNO Sabah yang membuat keputusan secara konsensus, saling mencadang dan saling berbincang demi kebaikan UMNO Negeri.

Sebelum itu beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh menerangkan bahawa penolakan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai ahli MT UMNO adalah dibuat atas sebab-sebab tertentu.

“Presiden ada bercakap dengan Tan Sri Apandi tetapi kemudian atas sebab-sebab tertentu elok beliau tak terima. Presiden setuju dengan keputusan ini dan ia tak harus jadi polemik. Waktu nak lantik ada bincang dan pemilihan Tan Sri Apendi dibuat atas pengalaman beliau yang luas dalam hal undang-undang.”

Dalam hal yang berkaitan, beliau turut meminta agar polemik tentang pelantikan Pengerusi BPUN diberikan kepada orang luar di negeri-negeri tertentu dihentikan.

“Presiden telah maklumkan kepada Naib-naib Presiden dan Jawatankuasa Pengurusan bahawa ada negeri-negeri yang tidak dapat mencari jalan konsensus tentang pelantikan pengerusi BPUN dalam masa yang singkat. Dalam konteks tiga negeri (Perlis, Terengganu, Selangor) perlukan masa yang lebih.

“Jadi tak perlu ada polemik. Hasrat Presiden adalah jelas bahawa keputusan tak dapat dibuat on time maka Naib Presiden dipertanggungjawabkan.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.