Tanggungjawab Kerajaan PH Pelihara Identiti Malaysia, Bukan Iktiraf UEC


KUALA LUMPUR, 14 Julai – Wanita UMNO mendesak supaya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneliti dengan mendalam kesan pengiktirafan UEC terutamanya sebagai kelayakan untuk kemasukan ke IPTA kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan identiti negara dan perpaduan di kalangan rakyat terus dipupuk serta dipelihara, bukan diretakkan oleh perbezaan medium komunikasi di antara mereka.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata demikian sebagai kegusaran berkenaan perkembangan pengiktirafan UEC untuk kelayakan untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Wanita UMNO menegaskan bahawa isu UEC bukan satu isu perkauman tetapi ia merupakan satu kebimbangan berkenaan identiti negara dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

“Bahasa dan sejarah merupakan asas kepada perpaduan rakyat dan identiti sesebuah negara maka ia menjadi kemestian untuk semua bangsa dalam Malaysia diikat dengan satu persamaan melalui bahasa dan sejarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, tuntutan pengiktirafan UEC merupakan satu isu yang telah dibincangkan dari sejak Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri buat kali pertama dahulu.

“Semasa menjadi Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri dahulu, Tun Mahathir sendiri telah menyatakan pendiriannya dengan tegas menolak pengiktirafan UEC sebagai kelayakan masuk ke IPTA.

“Antara sebab titik penolakan kepada tuntutan ini pada hari ini adalah kerana UEC tidak mewajibkan peperiksaan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia mengikut silibus yang ditetapkan Kementerian Pendidikan setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jika rakyat Malaysia yang berbilang kaum tidak diwajibkan menguasai Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan, pastilah akan lahir generasi rakyat Malaysia yang tidak boleh bertutur Bahasa Melayu dengan fasih.”

Tegasnya lagi, jika ini dibiarkan, Malaysia akan hilang identiti yang menyatukan masyarakat majmuk di dalam negara ini. – MediaUMNO