UMNO Dan PAS Akan Bincang Pastikan Satu Lawan Satu Di Sungai Kandis – Zahid

BAGAN DATUK, 12 Julai – UMNO bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) akan berbincang bersama PAS untuk meletakkan hanya seorang calon pembangkang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, di Selangor nanti.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama itu merupakan strategi pihak pembangkang dalam usaha memastikan pertembungan satu lawan satu, pada PRK itu sekali gus memberikan saingan sengit.

“Kami perlu mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain yang menjadi pembangkang khususnya PAS untuk menentukan bahawa seorang calon sahaja akan bertanding.

“Kami akan ambil perkiraan kebolehmenangan kepada parti dan juga kebolehsokongan kepada calon yang akan (diletakkan) bertanding di DUN Sg Kandis, ertinya, daripada pihak pembangkang, termasuk UMNO dan parti-parti komponen BN kami bersetuju hanya seorang calon sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis kesyukuran meraikan 93 bakal haji kawasan Parlimen Bagan Datuk di sini petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Ahmad Zahid turut menjelaskan perbincangan untuk mengunakan logo UMNO pada PRK itu juga turut akan dibincangkan dalam masa terdekat selepas ia dicadangkan Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.

“Kami belum meneliti secara rasmi (cadangan) itu biarpun ia merupakan cadangan yang diperbincangkan dalam jawatankuasa pengurusan dan saya akan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat jawatankuasa politik untuk kami melihat perincian terhadap keberuntungan jika menggunakan logo di luar BN,” katanya.

Ditanya mengenai dana untuk berkempen pada PRK nanti susulan pembekuan akaun UMNO pusat dan Selangor, Ahmad Zahid berkata beliau yakin masih ramai individu dan anggota parti itu sendiri akan membuat sumbangan untuk membantu gerak kerja parti semasa berkempen.

“Kami tidak akan berbelanja seperti PRK terdahulu, tapi pegangan kami ialah ‘kos rendah (tapi) impak yang tinggi’ itu pendekatan kami ambil nanti,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).


5 months ago