UEC : Pengiktirafan Dua Atau Tiga Sistem Bantut Usaha Pembinaan Negara Bangsa

Azman Abas


KUALA LUMPUR,12 Julai – Pemuda UMNO hari ini berpandangan pengiktirafan kepada dua sistem dalam negara ini hanya akan membantutkan usaha pembinaan negara bangsa sepertimana yang dihasratkan.

Atas hakikat berkenaan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pergerakan itu tidak bersetuju dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Apa pun kita harus melihat kepada kepentingan negara kita. Kita harus pertahankan satu sistem kerana kalau kita membenarkan ruang-ruang berasaskan kaum dan bangsa kita tidak akan dapat mewujudkan nilai kemalaysiaan mewujudkan satu negara bangsa sepertimana yang kita hasratkan,” katanya.

Tegasnya lagi negara tidak seharusnya mempunyai dua atau tiga sistem pengiktirafan selain daripada yang telah dilaksanakan selama ini.

“Kami tidak bersetuju untuk pengiktirafan sijil selain daripada apa yang kita ada di peringkat negara hari ini. Kita tidak boleh mempunyai dua tiga sistem pengiktirafan. Kalau tidak kita akan gagal dalam membina identiti dan negara bangsa yang bersepadu.

“Mana ada negara-negara yang mempunyai sistem sepertimana kita pada hari ini. Saya rasa Singapura pun hanya mengiktiraf satu sistem sahaja,” ujarnya. -MediaUMNO


5 months ago