Cadangan Guna Logo UMNO Pada PRK Sg Kandis Akan Diteliti Biro Politik

Azman Abas

BAGAN DATUK, 12 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan untuk menggunakan logo UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan diteliti Biro Politik parti sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Menurut beliau sungguhpun ianya telah dibincangkan dalam jawatankuasa pengurusan parti, namun cadangan tersebut akan dibawa ke dalam mesyuarat Biro Politik untuk dinilai dan dilihat secara keseluruhan.

“Kita belum teliti secara rasmi cadangan untuk meletakkan logo UMNO bertanding biarpun telah diperbincangkan dalam jawatankuasa pengurusan dan saya akan membawa perkara ini kepada mesyuarat biro politik untuk kita melihat perincian terhadap keberuntungan jika kita menggunakan logo di luar daripada BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis meraikan bakal-bakal haji Parlimen Bagan Datuk di Bangunan UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini. Turut hadir ADUN Rungkup, Datuk Shahrulzaman Datuk Yahya dan ADUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi.

Sebelum ini dilaporkan, kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) diminta mempertimbangkan cadangan supaya UMNO bertanding menggunakan logo parti itu dan bukannya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos depan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mencadangkan perkara itu berkata, langkah tersebut adalah pen­ting bagi mengukur sokongan rakyat selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Ahmad Zahid seterusnya menambah UMNO dan BN belum memuktamadkan calon yang akan bertanding  di DUN tersebut.

“Perbincangan akan diadakan dengan pelbagai parti di dalam BN secara rasmi tetapi perbincangan secara tidak rasmi dengan parti – parti pembangkang lain khususnya Pas juga akan diambil kira. Kita ambil kira kebolehmenangan dan kebolehsokongan kepada calon yang akan bertanding di DUN berkenaan,” katanya.

Menjawab soalan berhubung akaun parti yang dibekukan termasuklah UMNO Selangor, Ahmad Zahid percaya dan penuh yakin mereka yang bersimpati dengan UMNO masih ramai.

“Biarpun akaun ibu pejabat UMNO dan Perhubungan UMNO Selangor dibekukan, kami amat yakin bahawa mereka yang bersimpati dengan UMNO masih ramai lagi.

“Mungkin biarpun sedikit sumbangan yang akan diberikan oleh mereka, tetapi kami amat yakin komitmen di kalangan orang-orang UMNO masih menebal dan kita tidak akan berbelanja sebagaimana pilihan raya terdahulu namun pegangan kita ialah low cost high impact,” ujarnya. -MediaUMNO


5 months ago