Terus Bermain Politik… Tetapi UMNO Pula Dituduh Main Politik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak segelintir pihak yang masih terus bermain politik tetapi UMNO pula dituduh bermain politik.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan penyebaran gambar bersama Lim Guan Eng ketika Pulau Pinang dilanda banjir besar pada 2017.

“Mereka mahu ‘menyerang’ saya menggunakan gambar ini pula. Fitnah dengan mereka tidak dapat dipisahkan. Tanpa mereka sedari gambar itu membuktikan sebaliknya.

“Membuktikan tentang pentadbiran kerajaan UMNO/BN yang bertanggungjawab. Membuktikan kerajaan UMNO/BN tidak bermain politik dalam mentadbir negara. Apatah lagi tatkala rakyat dihimpit kesusahan dan penderitaan,” terangnya dalam hantaran melalui laman facebooknya, hari ini.

Ujarnya, ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang hubunginya pukul 3 pagi meminta bantuan daripada kerajaan Pusat selepas kerajaan negeri tidak berupaya menangani banjir yang berlaku.

“Kerajaan UMNO/BN serta merta hantar segala bantuan dan saya sebagai TPM turun padang.

“Begitu caranya jadi kerajaan Malaysia. Jaga rakyat dan negara sepenuh hati. Bukan menutup pintu Parlimen dan menggantung demokrasi. Bukan menyalahgunakan Ordinan Darurat untuk kepentingan diri. Bukan memandang mudah bantuan dan tuntutan rakyat.

“Bukan terus dalam sindrom penafian tentang ekonomi yang merundum. Bukan memperkotak-katik titah Agong dan Raja-Raja Pemerintah. Pokoknya sudah hampir 4 tahun Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlalu dan kini sudah tahun 2021, tetapi mereka masih bergelumang dengan fitnah.”

Tegasnya, BN berhujah tentang fakta, mereka cekal dengan tipu daya sedangkan rakyat sedang menderita, negara menuju kegagalan.

“Namun mereka seolah-olah tidak peduli semua ini. Terus bermain politik tetapi UMNO pula dituduh bermain politik.

“Kita pukul rata sahaja tentang mereka ini sebab mereka sebenarnya masih sekapal,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit