PKPD Di Dua Lokaliti Di Sabah, Satu Di Kelantan Bermula 6 Julai
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di dua lokaliti di Sabah dan satu lokaliti di Kelantan bermula 6 Julai hingga 19 Julai, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata PKPD di Sabah melibatkan Kampung Jambatan Baru, Membakut di Beaufort dan Blok 6, Kampung Titingan di Tawau.
PKPD di Kelantan pula membabitkan Kuarters Ladang Lepan Kabu (A dan B) dan sebahagian kawasan Kampung Pahi iaitu kawasan bersempadan dengan Kuarters Ladang Lepan Kabu di Kuala Krai.
“Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.
Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).