Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin Lancar, UMNO Bawa Solidariti Rakyat Malaysia – Fathul Bari

KAHERAH, 24 Jun – Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) yang telah memasuki hari keenam dalam melaksanakan amanah berlangsung lancar dengan setiap anggota mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Fathul Bari Mat Jahya yang juga Timbalan Pengerusi BKUM memaklumkan solidariti untuk warga Palestin amat tebal kepada masyarakay Malaysia.

“Solidariti rakyat Palestin yang kita tunjukkan di sini, bahawa sewajarnya rakyat Malaysia sentiasa mahu menyalurkan bantuan dan kami datang ke sini mengikut SOP serta berhubung dengan saluran yang rasmi seperti Kedutaan Malaysia untuk melicin, memudah dan mengutamakan keselamatan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, kedatangan anggota misi ini juga adalah untuk menjalinkan hubungan baik dengan pihak yang berautoriti dalam menguruskan Masjid Al-Aqsa.

“Kita berada di sini cuba untuk menjalinkan hubungan baik dengan pihak yang berautoriti dalam menguruskan, membaik pulih dan menambah baik Masjid Al-Aqsa sendiri iaitu Kerajaan Jordan yang mana di bawah kerajaan Jordan sendiri ada dua akaun iaitu di bawah King Abdullah II dan kedua tabung di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama.

“Kita berbesar hati kerana telah bertemu sendiri dengan menteri berkaitan selain Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani dan dapat menyampaikan sumbangan bagi membaik pulih Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkaitan kelancaran misi di Jordan sebagaimana objektifnya untuk memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa yang mengalami kerosakan setelah diserang rejim zionis Israel.

Terdahulu, Duta Malaysia di Jordan, Datuk Jilid Kuminding turut menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada anggota HM4P yang telah membawa nama negara bagi membantu rakyat Palestin.

“Selama tiga hari anggota misi ini di Jordan, misi ini telah membawa kejayaan dan saya dapat rasai kita dapat penghormatan yang tinggi kerana ia tentunya akan membuka lebih banyak ruang dan kerjasama bukan sahaja anggota misi ini tetapi juga NGO lain dari Malaysia.

“Insya-Allah pihak kedutaan akan membuat tindakan susulan bagi memastikan hubungan baik berterusan,” katanya lagi.
Dilaporkan buat masa ini anggota HM4P yang dijadual melaksanakan misi selama dua minggu bermula 19 Jun lalu telah berada di Kaherah dan menunggu kelulusan untuk memasuki Gaza.

Antara tujuan misi terbabit ke Gaza ialah menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan serta membantu membangunkan kawasan penempatan warga Palestin yang terjejas di Gaza selepas diserang tentera Israel bulan lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.