UMNO, Rakyat Malaysia Doakan Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin Berjaya – Ahmad Maslan
SEPANG, 19 Jun – Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin di bawah Biro Kebajikan UMNO Malaysia berlepas dari Ibu Negara awal pagi ini bagi merealitikan usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Israel.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan selamat pergi, selamat berada di sana dan selamat kembali kepada anggota rombongan yang diketuai oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Katanya, beliau mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa menyokong setiap usaha yang dibuat bagi rakyat Palestin.
“Bagi pihak Presiden UMNO yang banyak bersetuju dan merestui perjalanan misi ini saya mengucapkan selamat pergi, selamat berada di sana dan selamat kembali kepada anggota rombongan dan mudah-mudahan apa yang kita hasratkan, bantuan kepada Masjid Al-Aqsa dan kepada rakyat Palestin akan dapat disampaikan dengan baik.
“Sedikit bantuan itu, moga-moga besar maknanya kepada mereka kerana mereka berada dalam kesusahan,” katanya dalam sidang media ringkas sebelum pelepasan anggota misi terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, malam tadi.
Katanya perjuangan UMNO mengenai isu Palestin ini sudah berpuluh tahun dan diteruskan dengan misi kemanusiaan yang dilaksanakan ini.
“Mudah-mudahan Allah SWT memberikan rahmat atas segalanya.”
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian telah menjelaskan keberadaan rakyat Palestin kini adalah melibatkan sekitar 2 juta di Gaza, 3.5 juta di Ramallah, 1.5 juta dalam wilayah yang Israel kuasai dan jajah sementara 6 juta di luar Palestin terutama di negara-negara jirannya sebagai pelarian.
Maklumnya lagi, UMNO juga telah melancarkan tabung khusus untuk misi bantuan kemanusiaan Palestin iaitu Tabung Muafakat Palestin.
Sebelum itu, Abdul Azeez menjelaskan bahawa anggota misi terbabit bergerak sebagaimana yang telah diamanahkan oleh Presiden UMNO, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan seluruh ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia untuk pergi ke Palestin bagi memberikan sumbangan.
“Perjalanan kami berlandaskan Hablum Minallah dan Hablum Minannas dan sebagaimana yang diperbincangkan dengan pengurusan tertinggi Masjid Al-Aqsa, mereka dalam keadaan yang daif akibat dibom malah tidak ada tempat berwuduk, tidak ada tandas, tidak ada sound system sehinggakan tidak kedengaran azan lagi. Mereka meminta sedikit sumbangan untuk membaiki kerosakan.
“Kami membawa amanah rakyat Malaysia untuk menyampaikan bantuan dan pastikan dana sumbangan ini sampai kepada sasaran. Kami telah bekerjasama dengan pihak Jordan untuk kami menyampaikan bantuan tersebut dan doakan kami agar dapat masuk ke Palestin.
“Ada juga bantuan untuk diedarkan kepada lebih kurang 1,000 penduduk Palestin sekitar sempadan.”
Jelasnya lagi, jika semuanya mengikut perancangan maka pada Selasa pula akan menyampaikan bantuan kepada penduduk di Cairo, juga kepada hospital dan bantuan kebajikan lain melalui kerjasama erat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
“Doakan niat murni ini untuk bantu menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin dipermudahkan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Abdul Azeez turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaaan Malaysia khususnya tiga kementerian utama iaitu Kementerian Dalam Negeri dengan menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Kementerian Luar melibatkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Parlimen dan Undang-undang) di bawah Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – UMNO Online