Bersedia Hadapi PRU15, Bangkit 15 Berobjektifkan Kemenangan – Fairuz Jamaludin

KUALA LUMPUR, 6 April – Bangkit 15 merupakan sebuah latihan dan persediaan dalam membentuk satu perisai utuh buat UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan berobjektifkan kemenangan sebagai sasaran utama.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin pentingnya Bangkit 15 ini adalah untuk memastikan jentera UMNO berada dalam keadaan siap siaga ekoran situasi politik negara yang tidak menentu berpotensi mewujudkan PRU-15 pada bila-bila masa.

“Latihan, taktikal dan strategi yang diterapkan dalam program Bangkit 15 ini memastikan para jentera UMNO tidak terkejut jika PRU-15 diadakan, sebaliknya telah pun bersedia serta mengetahui apa yang perlu dilaksanakan berdasarkan skop pengkhususan masing-masing.

“Bangkit 15 juga melatih para jentera UMNO untuk mempunyai daya pemikiran yang kritis, kritikal dan analitikal dalam menghadapi pihak lawan agar ‘decision making’ (membuat keputusan) yang dibuat lebih bersifat realistik, rasional dan seterusnya menyumbang kepada kemenangan UMNO.

“Ini dapat diaplikasikan secara praktikaliti secara sistematik berpandukan taktikal yang dirancang demi mengelakkan tindakan semberono yang merugikan parti,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga mewakili Pergerakan Pemuda UMNO mengharapkan Bangkit 15 turut menjadi medium penting untuk mentransformasi kaedah dan strategi kempen tradisional kepada satu strategi berkempen yang lebih kontemporari, terutamanya melalui penggunaan teknologi maklumat sesuai dengan kitaran Revolusi Perindustrian 4.0.

“Ini amat penting dalam konteks hari ini memandangkan naratif begitu mudah tersebar melalui medium teknologi media baharu seperti media sosial. Maka, kemahiran dan pemikiran IT amat diperlukan bagi memenangi sesebuah pilihan raya.

“Terpenting sekali, program Bangkit 15 tidak sekadar mengartikulasikan pembelajaran teori, tetapi turut memasukan elemen pratikaliti bertujuan menggambarkan suasana sebenar di lapangan pilihan raya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, selain melatih jentera untuk membiasakan diri dengan lapangan ‘perang’, ia turut berfungsi dalam menerapkan semangat ‘melawan’ dalam kalangan jentera UMNO serta menerapkan mentaliti kemenangan dalam hierarki tertinggi pemikiran jentera UMNO. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit