Segera Desak Kerajaan Hentikan Darurat, Bentang RMK-12 – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Kerajaan didesak untuk menghentikan proklamasi darurat dengan serta merta, tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, selaku penyokong dalam usul ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Beliau berkata, pengumuman daripada kerajaan mengenai pengisytiharan darurat ini memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

“Apa yang perlu kita buat adalah kita ramai-ramai kena desak supaya kerajaan Perikatan Nasional hari ini kena hentikan darurat serta merta.

“Kalau kita tidak hentikan darurat ini serta merta saya bagitahu tuan-tuan tidak akan ada pelabur yang akan datang ke negara kita.

“Pasal mereka ini mengamalkan sistem demokrasi tahap tinggi, kalau dia tengok negara itu tidak mengamalkan demokrasi yang sebaik mungkin dia tidak akan bawa duit dia datang sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam PAU 2020 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ulas Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa itu lagi, negara memerlukan pelan strategik yang cukup rapi untuk memastikan ekonomi negara berada di prestasi yang cemerlang.

Kata Johari, namun ianya tidak menjadi kenyataan kerana ketiadaan sidang Parlimen bagi membolehkan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Bayangkan kita buat Bajet 2021 tapi RMK12 tak buat, RMK11 pula sudah habis.

“Sepatutnya buat rancangan RMK12, kita susun lima tahun punya strategi atau lebih daripada itu supaya pelabur-pelabur tengok dokumen kita.

“Bila dia tengok dia tahu apa Malaysia punya strategi, barulah yang mana-mana minat dengan negara kita dia akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit