Ahli UMNO Hayati Ucapan Dasar Presiden, Bersidang Secara Maya Tak Luntur Sokongan

AMPANG, 28 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung hari ini adalah satu kelainan dari yang biasa memandangkan negara masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga terhadap pandemik COVID-19.

Dalam hal ini, UMNO Bahagian Ampang dan UMNO Bahagian Pandan telah berkongsi dewan persidangan bagi mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2020 secara maya yang dipancarkan menggunakan sistem Webex di Dewan Dato Setia Mufti Suib, di sini.

Perwakilan UMNO Bahagian Ampang, Ismail Ahmad berkata, biarpun kali ini persidangan berlangsung dalam keadaan yang luar dari kebiasaan namun ia tidak sedikitpun mematahkan semangat anggota parti.

“Alhamdulillah, kami merasa bersyukur kerana UMNO dapat mengadakan perhimpunan agung walaupun dalam keadaan yang tak pernah kita lalui sebelum ini tetapi itu semua tidak menjadi masalah kerana bagi kami asas dan penghayatan untuk perjuangan adalah lebih penting.

“Biarpun secara maya dan tidak berhimpun bersama anggota parti dari seluruh negara seperti tahun-tahun yang dulu tetapi saya yakin bahawa anggota UMNO tetap bersemangat untuk memperkukuh parti dan fokus kepada hala tuju masa hadapan sebagaimana tegas Presiden,” katanya.

Katanya, apa yang menarik ialah apabila Presiden menegaskan tentang pentingnya keikhlasan dalam perjuangan dan memahami aspirasi UMNO yang mempunyai organisasi serta Perlembagaan dipatuhi.

“Walaupun kami hanya mengikuti ucapan dasar Presiden secara maya, namun, kami menghayati dan memahami malah kami yakin bahawa persidangan UMNO yang dibuat dalam norma baharu ini akan menjadi contoh serta tauladan kepada pihak lain juga.

“Saya yakin bahawa ahli-ahli UMNO faham dengan situasi yang dihadapi dalam parti dan dalam negara maka kami diperingkat bahagian sedia bekerja dan berkhidmat sebagaimana aspirasi parti sendiri.

“Ahli-ahli UMNO perlu menghayati ucapan dasar Presiden jika kita mahu UMNO kembali menerajui negara kerana sudah terbukti bahawa rekod cemerlang UMNO bersama Barisan Nasional (BN) menerajui negara selama ini,” katanya lagi.

PAU 2020 hari ini mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC), Kuala Lumpur dan secara maya di 190 UMNO bahagian di seluruh negara.

Semalam, persidangan ketiga-tiga sayap parti berjalan lancar dengan perwakilan mematuhi jadual masa ditetapkan penganjur, termasuk menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit