Hari Pertama PAU 2020 Dalam Norma Baharu Lancar, Kekal Patuhi SOP
KUALA LUMPUR, 27 Mac- Perhimpunan Agung UMNO 2020 hari ini yang julung kalinya diadakan secara semuka dan maya berjalan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Meskipun tidak semeriah seperti kelaziman namun kegirangan turut terpancar di wajah perwakilan yang tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC).
Setiap perwakilan yang hadir dilihat sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
Urus setia Ibu Pejabat UMNO juga turut menyediakan QR code’ di setiap dewan-dewan utama bagi memudahkan perwakilan melakukan imbasan MySejahtera.
Pagi tadi menyaksikan Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di Dewan Merdeka yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan
Selesai ucapan daripada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional itu, perhimpunan Wanita dan sayap-sayap dilakukan secara berasingan di Dewan Tun Hussein Onn, Dewan Tun Dr Ismail dan Dewan Merdeka.
Bagi memastikan kelancaran perhimpunan agung kali Skuad Sabil ditugaskan untuk melakukan kawalan di setiap dewan dan sekitar pekarangan kawasan terbabit bagi memastikan peraturan yang ditetapkan sentiasa dipatuhi.
Esok dijadualkan perhimpunan agung akan dimulakan dengan acara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai simbolik perasmian persidangan yang kemudiannya akan diikuti ucapan dasar Presiden. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib