UMNO Ambil Kira Pandangan Akar Umbi, Tangkis Fitnah Ditabur Pada Rakyat – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 27- UMNO harus mengambil kira pandangan akar umbi dalam memutuskan sebarang yang melibatkan parti dan memastikan ianya dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Pencadang usul menyokong ucapan dasar Ketua Puteri UMNO, Norfadzlete Aryani Mat Rosli berkata serentak itu pihaknya menyokong cadangan untuk memutuskan sebarang kerjasama dengan PPBM.

Beliau yang merupakan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia seterusnya menambah sebilangan besar pemimpin PPBM telah dilihat mengkhianati perjuangan UMNO.

“Yang jelas sebilangan besarnya di kalangan pemimpin PPBM adalah individu yang telah mengkhianati perjuangan kita. UMNO meminta kita bersatu bukannya UMNO meminta kita masuk bersatu.

“Perikatan Nasional adalah perjanjian antara ahli- ahli Parlimen saja dan bukannya dari akar umbi. Kita hanya bersama PN sehingga Parlimen dibubarkan. 

“Puteri juga tidak mahu UMNO bekerjasama dengan dengan PKR dan Dap. Ianya selaras dengan dengan ketetapan Presiden UMNO serta Majlis Kerja Tertinggi sendiri yang tak akan melanggar dasar parti ‘no dap no anwar’,” katanya ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di PWTC, di sini, hari ini.

Sementara itu penyokong usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO, Norlizah Noh meminta agar ahli UMNO dapat menangkis fitnah yang pelbagai ditaburkan ke dalam pemikiran rakyat.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia seterusnya menambah prinsip parti yang disampaikan oleh pucuk pimpinan dipergunakan dan ditularkan melalui media sosial oleh pihak lawan untuk mengganggu gugat perjuangan murni ini.

“Mereka terus-terusan bermain api. Bermain dengan fitnah yang membunuh. Bermain dengan fantasi janji kosong mendabik dada. Bukan kecil fitnah yang ditabur. Bukan sedikit kecaman yang kita harungi. Bukan baru semalam benih kebencian ini ditanam.

“Ibarat peribahasa bau busuk tidak berbangkai, menunggu masa menangguk di air yang keruh, serangan sebegini tidak memerlukan alasan untuk mereka menyerang bertubi-tubi sehingga berjaya membentuk persepsi politik yang buruk mengenai parti UMNO yang kita cintai ini dalam pemikiran rakyat. Inilah antara api dalam sekam yang kita akan harungi dalam menempuh pilihan raya ke 15.”

Beliau lagi yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Tinggi menyeru jika kebebasan media sosial dipergunakan oleh mereka sebagai senjata, maka literasi media jugalah sebagai kuncinya untuk diperkasakan. 

“Media sosial sememangnya kunci penghubung dengan rakyat untuk menyampaikan setiap pendirian kita dengan jelas konsisten. Kita lawan asakan dan serangan melalui media ini dengan satu suara, dengan nilai dan budi yang menjadi pasak kekuatan bahtera perjuangan kita ini,” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit