PAU 2020 Ke Arah PRU-15, Bersatu Hati, Bersemangat Perkukuh UMNO

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah berkata setiap ahli UMNO perlu bersatu hati dan berfikir bersama-sama dalam tindakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ulasnya, setiap ahli perlu bersiap siaga dan menjadikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 sebagai pusingan terakhir untuk memperkukuhkan semangat dan kekuatan parti sebelum berhadapan PRU-15.

“Semangat PAU 2020  kali ini memikirkan tentang pilihan raya yang akan datang. Kita mesti ada ‘footing’ (pijakan) yang betul untuk bekerja ke arah pilihan raya. Sepatutnya di peringkat ini kesemua perwakilan atau ketua UMNO bahagian mestilah bersatu hati untuk memikirkan cara-cara dan strategi untuk menang pilihan raya.

“Kalau kita bersatu hati… kalau kita memenuhi satu tujuan saja, insya-Allah…UMNO akan menjadi lebih gemilang dan boleh mendapat peluang yang lebih baik dalam pilihan raya yang akan datang.

“Harapan saya selepas dibincang semasa PAU nanti, masing-masing balik ke kawasan masing-masing dan ‘start’ kerja kerana pilihan raya ini kita tidak tahu bila ia akan jadi, mungkin jadi pada tahun ini, tahun depan dan kemungkinan tahun 2023,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Mohd Shafie lagi, berdasarkan senario yang ada pilihan raya ini akan berlaku bila-bila masa, maka ahli–ahli UMNO haruslah bekerja lebih kuat serta bersedia menghadapinya.

“Secara perbandingan dengan parti-parti lain… saya rasa kita (UMNO) lebih bersedia sebab kita mempunyai cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian di merata pelusuk dalam negara.

“Kita kena kerja kuat kerana kali ini kalau kita anggap pilihan raya ini adalah semudah pilihan raya lepas dan saya rasa kalau dulu kita kata 2018 sebagai ‘the mothers of battels’ (ibu pertempuran) pada saya ‘this time around’ (kali ini) ia akan menjadi ‘the father of battels’ (bapa pertempuran)… maknanya lagi sengit dan kena kerja lebih kuat… itulah harapan saya,” ulasnya lagi.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Segambut Datuk Mahadir Sulaiman mengharapkan agar jentera parti dapat mengenepikan sebarang sentimen perasaan ke arah PRU-15.

“Saya mengharapkan kita sama-sama menyusun jentera parti ke arah PRU-15 yang akan datang. Kita ketepikanlah apa jua sentimen yang berlaku dalaman parti semoga parti dilihat terus kukuh, bersatu dan bersama untuk kita sama-sama bergerak ke PRU-15 yang akan datang…insya-Allah.

“…dan harapan ini menebal pada saya sebab melihat kepada aktifnya pemimpin-pemimpin bawahan dan pucuk pimpinan yang begitu sedikit ada kegusaran kepada ahli akar umbi.

“Saya mohon sebagai pemimpin akar umbi di bawah ini untuk mengenepikan segala kepentingan. Ayuh kita bersama… kita bersatu padu demi UMNO, demi agama, bangsa dan negara,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit