ADUN Tras Dap Perlu Diambil Tindakan Di Bawah Akta Hasutan – Shahaniza
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berpandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui mesti diambil tindakan di bawah Akta Hasutan.
Ini kerana katanya, tindakan wakil rakyat Dap itu jelas secara tidak langsung menghasut orang lain mempercayai bahawa tulisan Jawi adalah rasis dan menyusahkan.
“Agaknya kenapa ADUN Tras (Dap) ni marah sangat dengan tulisan Jawi? Siap ‘challenge’ (cabar) di mahkamah tentang arahan Kerajaan Negeri Pahang untuk letak tulisan jawi di papan tanda premis perniagaan.
“Bukan dia tak tahu yang tulisan Jawi tu sebahagian dari Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan seperti termaktub di Perlembagaan.
“Bukan dia tak ‘reti’, tapi sengaja buat tak ‘reti’. Sebab apa? Sebab nak tunjuk konon kita rasis bila kita pertahankan,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Shahaniza yang juga ADUN Kuala Sentul, Bahasa Melayu termasuk tulisan Jawi sepatutnya menjadi bahasa dan tulisan yang menyatupadukan rakyat.
“Semua warganegara mesti fasih berbahasa Melayu dan memahami tulisan Jawi. Namun, kita selama ini tidak pernah mengambil sebarang tindakan kepada mereka yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu atas dasar toleransi kaum demi jaga keharmonian bersama,” katanya.
Ulasnya lagi, mungkin juga tindakan tersebut merupakan satu cara Dap mahu mencari publisiti.
“Apapun, strateginya, tindakan tersebut ternyata mencabar bukan sahaja kedudukan Bahasa Melayu (yang mana tulisan Jawi adalah sebahagian darinya) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi juga memperlekeh dan memperlecehkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang mahu tulisan jawi diperkasakan di negeri ini,” ujar Ketua UMNO Bahagian Maran itu. – UMNO ONLINE
Oleh: Zylan Moha