Hormati Mahkamah, Teruskan Perjuangan Bela Rakyat – Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menghormati keputusan mahkamah hari ini yang memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan meliputi salah guna kuasa, pecah amanah dan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana daripada SRC International.

Kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, walaupun berasa sedih dan simpati atas nasib bekas pemimpin nombor satu UMNO dan negara, Pemuda yakin Datuk Seri Najib masih ada peluang dan ruang mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara hingga ke peringkat yang tertinggi.

“Pemuda UMNO amat menghormati sifat cekal dan tabah Datuk Seri Najib yang konsisten sejak daripada awal mahu membersihkan diri beliau melalui proses perundangan di mahkamah dan keengganan beliau untuk tidak mahu mengheret parti dan rakyat dalam kes-kes pertuduhan yang dihadapinya.

“Justeru, Pemuda UMNO mengajak seluruh warga pejuang-pejuang parti untuk terus mendoakan kecekalan dan kesejahteraan pemimpin yang banyak jasanya kepada parti dan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama tambah Dr Asyraf, Pemuda UMNO akan terus maju ke hadapan dengan citra baharu untuk memastikan agenda perjuangan yang masih belum selesai untuk membela kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara, dengan menjadikan segala episod ini sebagai satu lipatan sejarah untuk diambil iktibar.- UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit