Semoga TS Muhyiddin Yassin Dan Datuk Ahmad Zakiyuddin Segera Sembuh – Zahid
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendoakan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang kini sedang mendapatkan rawatan di hospital agar segera sembuh dan dapat kembali menjalan tugas seperti biasa.
Dalam satu kenyataan media, beliau memohon Allah memberikan kekuatan dan ketabahan kepada kedua-dua pemimpin itu tersebut.
“Saya memanjatkan doa kehadrat Allah SWT untuk Menteri Dalam Negeri, YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, YB Datuk Ahmad Takiyuddin Abdul Rahman, agar sembuh dan pulih dengan kadar segera.
“Semoga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada kedua-duanya untuk cepat sembuh seperti sediakala,” ujarnya dalam kenyataan media tersebut.
Seterusnya Zahid berkata, selain daripada perubatan moden sebagai satu ikhtiar, doa juga merupakan senjata utama bagi orang-orang mukmin untuk memohon kesembuhan termasuk perlindungan daripada sebarang musibah.
“Ini berdasarkan firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 186 yang bermaksud, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawa sanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
“Maka marilah kita sebagai umat Islam berdoa semoga Allah SWT memberikan hidayah dan kesihatan yang baik kepada kita semua untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan negara serta menjaga amanah yang diberikan oleh Junjungan besar Nabi Muhammad SAW kepada kita,”ujarnya.
Dalam perkembangan terkini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas dan kini berada di dalam keadaan stabil.
Manakala, Timbalan Menteri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pula dimasukkan ke hospital Pulau Pinang ekoran sakit di bahagian dada.-MediaUMNO