PH Berebut PM, Sepang Undi PD Atau Langkawi? Soal Tanjung Karang


KUALA LUMPUR, 16 Julai – “Jangan tanya sebab-sebab letak jawatan, saya nak tanya Yang Berhormat waktu mengadap Agong (Yang di-Pertuan Agong-YDPA) dulu, Yang Berhormat mengundi siapa? Undi Port Dickson ke undi Langkawi? Tolong bagitahu,” bidas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Noh menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang memintanya bertanya kepada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengapa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebelumnya, Noh mengulas ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik ciptaan PH serta perebutan jawatan perdana menteri dengan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin kelam-kabut berpunca perletakan jawatan Tun Mahathir.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor itu juga berkata sejak merdeka tidak pernah setiap Ahli Parlimen dipanggil mengadap YDPA bagi menentukan individu layak sebagai perdana menteri.

“Kita dipanggil, diberi peluang menamakan siapakah perdana menteri. Pada masa itu saya nak tegaskan memang betul kami UMNO dan PAS memang nak bubar dewan.

“Yang menimbulkan masalahnya sebelah PH ada kumpulan menamakan Langkawi, ada kumpulan menamakan Port Dickson. Bila dah kelam-kabut begini, maka tindakan YDPA itu memang bijak, panggil kita…bila dah tidak ada mana-mana orang yang mendapat sokongan majoriti, ketua-ketua parti dipanggil.

“Dan pengorbanan kami di sini termasuk Yang Amat Berhormat dari Pagoh dan rakan-rakan kita ini, mereka ini bukan pengkhianat, mereka ini bagi saya ialah sebatang lilin,” katanya di dalam sidang Dewan Rakyat, sesi petang Rabu.

Tambahnya, atas kebijaksanaan YDPA dan kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan, negara berjaya mengharungi wabak pandemik COVID-19 dengan baik hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Bayangkan kalau dalam keadaan politik kita kelam-kabut, COVID-19 menyerang kita, apa akan jadi kepada negara kita. Alhamdulillah ada hikmahnya apabila kerajaan Perikatan Nasional ini ditubuhkan dan kami rela demi menjaga kepentingan rakyat.

“Kalau dalam keadaan politik tidak stabil, bagaimana kita hendak menghadapi COVID-19. Kerana itu kerajaan Perikatan Nasional tidak ada manifesto, kerajaan ditubuhkan untuk menyelamatkan rakyat kita,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai isu Tabung Haji yang sering menjadi pertikaian blok kerajaan dan pembangkang, beliau mendesak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya dapat merungkai segala kekusutan.

Begitu juga beliau menegur Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu meneruskan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutama di Pulau Pinang dan Selangor serta berharap ia dibatalkan sebagaimana desakan UMNO dan PAS yang konsisten menolaknya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.