Bekas Staf Ingatkan ‘Boss’nya Tunai Janji… Letak Jawatan Jika Lompat

MERSING, 9 Julai – Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof mengingatkan bekas ketuanya, Datuk Dr. Abd Latiff agar menunaikan janji letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Mersing sebelum melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Sebagaimana dalam ucapan Datuk di Tenggaroh 03, di hadapan ahli-ahli UMNO, dua tahun yang lepas sebelum Datuk melompat ke Parti PPBM yang mana Datuk akan meletakkan jawatan dahulu sebagai Ahli Parlimen Mersing kalau Datuk nak melompat, Datuk kena tunaikan,” tegasnya dalam satu surat terbuka kepada Abd. Latiff, Rabu.

Youzaimi juga merasa terkilan dan tidak menyangka orang yang selama ini banyak mengajarnya terutama dalam berpolitik telah terpesong daripada landasan yang sebenar politik yang baik.

Katanya, adalah sama sekali tidak patut Menteri Pembangunan Luar Bandar itu sebagai orang yang dahulunya lama dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang sangat tidak boleh diterima oleh ahli-ahli UMNO akar umbi terutamanya di Mersing.

“Yang pertamanya, Datuk mengatakan dalam ucapan di Felda Tenggaroh 05, Alif Mim Nun Tendang Wau adalah Sarkas. Tidakkah Datuk akui yang selama ini, berapa penggal Datuk menjadi Ahli Parlimen Mersing dan memegang jawatan Timbalan Menteri di beberapa kementerian adalah hasil dalam perjuangan Parti UMNO dan BN.

“Yang keduanya, Datuk mengatakan yang UMNO Sabah tidak laku semasa program Datuk bersama MARA,” bidasnya.

Menurut Youzaimi lagi, sememangnya UMNO adalah parti keramat dan bukan parti yang boleh dijual beli tetapi yang boleh dijual beli adalah beberapa ahli Parlimen seperti bekas ketuanya itu sendiri.

“Yang mudah ke sana dan ke sini untuk mencari kepentingan diri sendiri yang mana kalau dahulu Datuk sering mengatakan kepada saya waktu itu sebagai kakitangan Datuk, kita wajib setia dan wala kepada Parti UMNO yang keramat ini,” tegas bekas Pegawai Khas Abd. Latiff itu lagi.

Berikut merupakan surat terbuka Youzaimi kepada Abd. Latiff.

Surat Kepada Datuk Dr. Abd. Latiff Bin Ahmad
(Mantan Boss)

YB. Datuk Dr. Abd. Latiff Bin Ahmad,
Menteri Pembangunan Luar Bandar,
Putrajaya

YB. Datuk,

PARLIMEN MERSING KUBU KUAT UMNO DAN BARISAN NASIONAL

Semoga YB Datuk diberikan kerahmatan oleh Allah bagi menjalankan tanggungjawab yang baik kepada bangsa dan negara.

2. Saya mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada YB Datuk sekiranya kehadiran surat ini mengganggu tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada Datuk. Sebagaimana perkara yang tersebut di atas dan pengajaran yang telah Datuk berikan kepada saya selaku kakitangan Datuk selama lebih 15 tahun berkhidmat kepada Datuk yang Parlimen Mersing ini adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional.

Ini diterjemahkan pada setiap kali Pilihan Raya Umum yang berlaku, tidak pernah parti lain selain Parti Keramat UMNO dalam Barisan Nasional memenangi pilihan raya tersebut dan Datuklah antara wakil rakyat yang telah memenangi kerusi Parlimen Mersing ini selama 4 penggal berturut-turut melalui UMNO dan Barisan Nasional.

3. Saya berasa sungguh sedih dan tidak menyangka orang yang selama ini banyak mengajar saya terutamanya dalam politik telah terpesong daripada landasan yang sebenar politik yang baik. Adalah sama sekali tidak patut Datuk sebagai orang yang telah lama dalam UMNO dan Barisan Nasional telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang sangat2 tidak boleh diterima oleh Ahli2 UMNO akar umbi terutamanya di Mersing.

Yang pertamanya, Datuk mengatakan dalam ucapan di Felda Tenggaroh 05, Alif Mim Nun Tendang Wau adalah Sarkes. Tidakkah Datuk akui yang selama ini, berapa penggal Datuk mejadi Ahli Parlimen Mersing dan memegang jawatan Timbalan Menteri di beberapa Kementerian adalah hasil dalam perjuangan Parti UMNO dan Barisan Nasional. Yang keduanya, Datuk mengatakan yang UMNO Sabah tidak laku semasa program Datuk bersama MARA.

Pada saya, sememangnya UMNO adalah Parti Keramat ini bukanlah parti yang boleh dijual beli tetapi yang boleh dijual beli adalah Ahli2 Parlimen seperti Datuk, yang mudah ke sana dan ke sini untuk mencari kepentingan diri sendiri yang mana kalau dahulu Datuk sering mengatakan kepada saya waktu itu sebagai kakitangan Datuk, kita wajib setia dan wala kepada Parti UMNO yang keramat ini.

4. Oleh itu, saya menyeru kepada Datuk, sebagai bekas boss saya, berpijaklah di bumi yang nyata dan akuilah yang Parlimen Mersing ini adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional. Datuk hanya menggunakan sementara sahaja Parlimen ini, menghabiskan waktu ‘term’ ini dan memang sepatutnya kerusi Parlimen Mersing ini hak UMNO dan Barisan Nasional yang mutlak.

5. Sebagaimana dalam ucapan Datuk di Tenggaroh 03, di hadapan ahli2 UMNO, 2 tahun yang lepas sebelum Datuk melompat ke Parti PPBM yang mana Datuk akan meletakkan jawatan dahulu sebagai Ahli Parlimen Mersing kalau Datuk nak melompat, Datuk kena tunaikan.

Akhir kata, saya memohon maaf jika kedatangan surat ini sekali lagi mengganggu Datuk.

Saya sudahi dengan ucapan terima kasih. Sekian.

Mohd. Youzaimi Bin Hj. Yusof
Ketua UMNO Bahagian Mersing
08 julai 2020 – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit