Demi Kestabilan, Keharmonian… Hormatilah Sesama Parti Yang Dukung Kerajaan PN – Pemuda Mersing
MERSING, 8 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Mersing menyeru Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bertindak tegas menggantikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dengan individu lain yang lebih faham tentang erti hormat kepada rakan-rakan parti komponen khususnya dari parti UMNO demi kestabilan dan keharmonian parti-parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kata Ketuanya, Azmir Datuk Zainal Abidin, jika bukan kerana ihsan dan sokongan parti UMNO yang dicacinya itu, tidak mungkin kerajaan PN dapat dibentuk dan Abd Latiff menjadi menteri penuh pada hari ini.
“Beliau hanyalah seorang wakil rakyat biasa yang lebih dikenali rakyat sebagai tidak mengenang budi dan tidak setia dalam perjuangan hingga melompat parti.
“Setelah kejayaan cemerlang dilakar oleh Mohd Sharim Md Zain di Pilihan Raya Kecil N23 Chini baru-baru ini, sebarang kenyataan yang berunsur provokasi dan menghina rakan-rakan komponen sendiri adalah tidak wajar dikeluarkan oleh sesiapa pun lebih-lebih lagi di kalangan pemimpin dan menteri kerajaan PN.
“Kenyataan seumpama ini akan dilihat oleh rakyat seolah-olah sebagai satu mesej yang salah dan mengelirukan tentang status sebenar hubungan rakan-rakan komponen dalam kerajaan PN hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Azmir, Pemuda UMNO Bahagian Mersing melahirkan rasa kecewa dan terkilan di atas bahasa pertuturan Abd Latiff merangkap Ahli Parlimen Mersing di satu program siaran langsung anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) baru-baru ini yang telah secara terang-terangan mencerca parti UMNO sebagai sudah tidak laku di kalangan rakyat khususnya UMNO di Negeri Sabah.
Tambahnya, tindakan yang tegas dan tuntas wajar diambil oleh Muhyiddin dalam menjaga keharmonian hubungan parti-parti komponen agar kerajaan PN ini dapat terus kekal stabil hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Sebagai seorang menteri kerajaan PN, ungkapan yang angkuh dan sombong sedemikian rupa tidak seharusnya keluar dari mulut beliau lebih-lebih lagi parti UMNO dan wakil-wakil rakyatnya menjadi sebahagian dari ahli-ahli dalam pembentukan kerajaan pusat dan sebahagian besar kerajaan di negeri-negeri hari ini.
“Oleh yang demikian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Mersing hari ini menzahirkan sepenuh sokongan terhadap kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa Abd Latiff meletakkan jawatan segera sebagai menteri kabinet kerajaan PN,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Johor.
Begitu juga tegasnya, Abd Latiff digesa memohon maaf secara terbuka melalui kenyataan media tanpa syarat kepada lebih tiga juta ahli UMNO di seluruh negara yang marah dan terluka dengan kenyataan celupar beliau itu. – UMNO ONLINE
Oleh: Zylan Moha