“YB Fahmi Fadzil, Anda Adalah YB Cap Ayam”… PKR Jangan Jadi Tali Barut Media Asing – Shahrul

KUALA LUMPUR, 8 Julai – “YB Fahmi Fadzil, anda adalah YB Cap Ayam,” bidas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin.

Tegasnya, kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mempertahankan media asing Al Jazeera adalah satu tindakan bersifat bodoh dan tidak patriotik.

“Tidak wajar bagi seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) membuat kenyataan kononnya kesal dengan tindakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Keselamatan yang telah memberi amaran keras supaya Al Jazeera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ini adalah soal imej negara dan keyakinan pelabur asing terhadap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional. Mungkin anda lupa China Global TV Network telah meletakkan Malaysia di antara tiga negara yang terbaik menangani COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Shahrul juga, sejak tular di media sosial, ratusan ribu rakyat Malaysia yang sedar akan perkara ini telah bersatu hati menentang tindakan stesen televisyen Al Jazeera yang memfitnah Malaysia dalam mengendalikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekang penularan wabak tersebut.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Dalam perkembangan terbaru, dilaporkan polis memulakan siasatan berhubung laporan agensi Al Jezeera yang didakwa berniat memburukkan imej Malaysia dan memanggil pengendali dan wartawannya dalam masa terdekat.

Begitu juga Jabatan Imigresen Malaysia yang memohon orang ramai menyalurkan maklumat seorang lelaki warganegara Bangladesh yang muncul dalam dokumentari tersebut, Md Rayhan Kabir, 25, nombor pasport BW0974403 dan alamat terakhir di Sirhan Legacy Sdn Bhd, B-7-9 Menara Uncang Emas, No 85 Jalan Loke Yew, 55200, Kuala Lumpur bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit