Tindakan Kerajaan PH Teruskan Program, Inisiatif Sedia Ada Satu Pengiktirafan Untuk UMNO/BN
JOHOR BAHRU, 11 Julai – Penerusan segala inisatif dan dasar dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini adalah satu pengiktirafan yang menunjukkan betapa usaha UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini benar-benar memberi manfaat dan memenuhi kehendak serta keperluan rakyat, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau yang merupakan mantan Menteri Besar Johor melahirkan rasa penghargaan dan berterima kasih kepada Menteri Besar Johor yang baru, Datuk Osman Sapian kerana terus melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat kepada rakyat, terutamanya, segala inisiatif dan dasar pro rakyat yang telah diperkenal dan dimulakan di bawah BN sepanjang lima tahun lepas.
“Kebanyakan daripada idea dan inisiatif tersebut nampaknya telah diteruskan pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri Johor sekarang.
“Sekalipun sesetengah program tersebut telah ditukar nama dan label rasminya, saya amat gembira, malah berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meneruskan semua itu.
“Kami pastinya tidak akan mengambil pendekatan ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’ dalam perkara ini namun selagi mana ia bermanfaat kepada rakyat Johor, inisiatif lama yang saya bersama-sama pasukan UMNO/BN usahakan sebelum ini harus diteruskan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Antara yang diteruskan ialah Air Percuma Johor, iaitu pemberian air percuma secara bersasar kepada golongan yang memerlukan (walaupun dalam jumlah isipadu yang lebih sedikit berbanding sebelum ini), perkhidmatan percuma Bas Harapan Johor, pemberian insentif khas musim perayaan kepada kakitangan Kerajaan Negeri serta bantuan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada para pelajar Johor.
“Ia menggambarkan dengan jelas bahawa saya dan pasukan UMNO/BN sebelum ini melakukan perkara yang betul dan perlu kepada negeri Johor, malah ia menunjukkan bahawa perbelanjaan kewangan negeri sebelum ini diuruskan dengan baik, berhemah dan strategik.
“Akan tetapi, saya amat berharap yang segala inisiatif tersebut bukan sahaja akan diambil begitu sahaja dan diteruskan bulat-bulat, sebaliknya, Kerajaan Negeri mesti bekerja keras dan turut memikirkan sendiri idea dan nilai tambah baharu yang boleh diberikan bagi menjadikan segala inisiatif kami itu semakin baik dan mantap.
“Hanya dengan berbuat demikian, hasil tangan dan nilai tambah dari Kerajaan Negeri PH dapat dilihat dan dinilai oleh semua pihak.”
Pada masa yang sama, beliau amat berharap beberapa idea besar dan penting yang diusaha dan dirancangkan oleh pentadbiran sebelum ini akan diberikan perhatian sewajarnya.
“Antaranya, pertama, penterjemahan Agenda Johor Islami, khususnya pemerkasaan sekolah dan pendidikan agama di Johor.
“Sebelum ini, saya merancang untuk memastikan sekolah-sekolah agama di Johor diperkemas dan dimodenkan dengan teknologi terkini. Ini termasuklah memastikan, selain 4 buah sekolah sedia ada, terdapat sekurang-kurangnya satu sekolah agama di setiap parlimen Johor menggunakan iPad sebagai medium pembelajaran.
“Saya turut menzahirkan hasrat untuk mengkaji semula sistem imbuhan dan pembinaan kapasiti guru-guru agama Johor secara komprehensif dan meletakkan sasaran membina sebuah sekolah agama antarabangsa di Johor.”
Beliau juga secara peribadi amat berharap, sekalipun tidak ada sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara berkaitan, Menteri Besar Johor tidak akan terkesan dengan pelbagai tekanan dan serangan ke atas sekolah agama dan pusat tahfiz yang kini lantang disuarakan kepada rakan-rakan PH di peringkat persekutuan, yang kelihatan mahu sekolah tahfiz ditutup.
“Sebagai negeri yang mempunyai sistem sekolah agama yang besar dan menyeluruh, YAB Menteri Besar Johor seharusnya menjadi suara yang tegas dan serius dalam perkara ini.
“Jika tidak, tidak mustahil institusi sekolah agama Johor akan turut menerima tempias dan tekanan dari pemikiran liberal yang tidak memberi sokongan kepada sekolah agama dan pusat tahfiz.
“Kedua, saya harap, dan amat menyokong, sekiranya pentadbiran YAB Menteri Besar Johor mempertimbangkan untuk Kerajaan Negeri mengambil alih Syarikat Air Johor (SAJ).”
Katanya, cadangan ini disarankan berdasarkan beberapa faktor iaitu:
. Pertama, proses ini sememangnya mampu dilakukan oleh negeri Johor, melihat kepada kedudukan kewangan yang kukuh dan jumlah rizab negeri Johor yang tinggi, yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini, yang melebihi RM3 bilion.
. Kedua dengan pengambilan SAJ ini, Kerajaan Negeri bukan sahaja berpeluang memperoleh dividen mencecah RM100 juta setahun, malah berupaya mengawal dan merendahkan tarif air Johor secara keseluruhannya dengan lebih berkesan. Ini akan sekaligus membolehkan Kerajaan Negeri memberikan lebih banyak air percuma kepada golongan sasar dan tidak sekadar 10m padu seperti yang dilakukan sekarang.
Ini adalah antara perancangan besar yang saya telah susun untuk lakukan sebelum ini, kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Johor.
. Ketiga, ingin sekali menggesa agar Kerajaan Negeri benar-benar memperhalusi dan mempertimbangkan secara serius saranan membesarkan lebuhraya Johor, seperti yang dirancang oleh UMNO/BN sebelum ini. Sebagai negeri yang sedang pesat membangun, penambahbaikan prasarana seperti lebuhraya adalah amat kritikal kepada Johor.
. Akhir sekali, berharap, pelbagai inisiatif baik yang telah dimulakan oleh saya dan pasukan UMNO/BN sebelum ini tidak akan dikorbankan hanya disebabkan oleh perbezaan politik dan pendirian. Semua inisiatif yang baik yang telah dimulakan sebelum ini seharusnya terus dilaksanakan demi kepentingan dan manfaat kepada semua rakyat Johor. – MediaUMNO